Abd. Latif Bandi

MERSING – Calon Parlimen Mersing bagi Pilihan Raya Umun ke 15 (PRU15), Datuk Abd Latif Bandi memohon semua pengundi di Mersing agar tidak menyamakan dirinya dengan sesiapa pun dalam menyatakan kesetiaan kepada parti.

“Pertàma sekali, saya sayang orang Mersing kerana ini kampung saya dan lahir di sini. Kedua, saya kenal diri saya dan biar apa pun berlaku selepas PRU15 ini, seandainya saya menang, saya berjanji tidak akan melompat ke parti lain demi menghormati rakyat yang telah memilih saya.

“Orang kata janji orang politik ni susah nak percaya tetapi percayalah, saya takut untuk menkhianati sesama manusia apalagi bila berkait dengan perkara yang telah diamanahkan kepada kita.

“Sebagai orang Islam, saya lebih takut kepada dosa dan bala yang akan Allah turunkan jika saya tidak menepati janji atau mengkhianati kepercayaan rakyat yang mahukan pemimpin jujur dan amanah,” katanya ketika ditemui di sebuah warung di sini.

Abd Latif berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan para pengundi di Mersing yang kesal apabila pemimpin yang dipilih sebelum ini sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberi tanpa memikirkan perasaan mereka.

Pengundi menyifatkan perbuatan khianat satu hal, malah sanggup pecahkan keharmonian dalam parti dengan menarik ahli untuk sama-sama menyertai parti lain.

“Susah saya nak jelaskan hal ini sebab apa yang berlaku memang satu kenyataan malah saya sendiri amat kecewa apabila ada ahli UMNO yang ‘termakan’ pujuk rayu untuk melompat parti.

“Tapi perkara dah berlaku dan saya sebagai ahli UMNO kena terus bergerak untuk merampas kembali kerusi yang memang sejak dulu milik parti ini.

“Saya yakin, ramai rakyat masih mahukan UMNO  kembali memimpin Mersing kerana mereka sedar hanya UMNO sahaja yang mereka boleh harapkan untuk kesejahteraan hidup,” ujarnya.

Bercakap tentang kempen, Abd Latif menjelaskan, aktiviti hariannya tidak banyak berubah kerana sejak dulu lagi dirinya memang sering bertemu orang ramai.

“Kempen saya berjalan lancar. Insya Allah saya akan bertemu rakyat seramai mungkin dan setakat ini, penerimaan rakyat terhadap diri saya amat memberangsangkan.

“Satu hal yang pasti, saya tidak akan memburukkan sesiapa ketika berkempen kerana bagi saya, rakyat boleh membuat penilaian memilih siapa yang layak untuk dijadikan pemimpin mereka,” katanya.

Bila ditanya keyakinannya untuk menang, sambil tersenyum, Abd Latif berkata, “Insya Allah”. – MalaysiaGazetet

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast