KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak amat kecewa terhadap penggunaan namanya dalam propaganda politik tidak berasas.
Ia susulan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bekas perdana menteri itu akan diberi pengampunan jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Firma guaman Shafee & Co dalam satu kenyataannya berkata, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
”Anak guam kami secara konsisten sejak permulaan perbicaraannya pada 2018, mahu dibebaskan melalui proses kehakiman di mahkamah kerana bukan sahaja beliau mahu mendapatkan kebebasan tetapi membuktikan integriti dan legasinya,” katanya.
Menurut beliau, Najib yakin peluangnya untuk dibebaskan dari penjara adalah melalui permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan sejajar dengan Peraturan 137 dan Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.
Permohonan Najib bagi semakan ini secara khusus bersandarkan kepada asas bahawa proses dan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan ketika rayuannya, adalah menafikan hak perlembagaannya bagi pendengaran kehakiman yang adil.
Katanya, peguam beliau tidak diberikan peluang secukupnya untuk membuat persediaan bagi proses rayuan menyebabkan peguam tidak dapat mengemukakan hujah bagi pembelaan.
Ia sekali gus menyebabkan beliau tidak diwakili peguam bela yang efektif di mahkamah.
“Jika semakan kehakiman ini cenderung kepada anak guam kami, anak guam kami akan memohon perbicaraan semula di bawah proses lebih adil dan seimbang.
“Ia bagi membuktikan kedudukan tidak bersalahnya di mana beliau akan menerima peluang dan ruang untuk kesnya termasuk mengemukakan fakta serta bukti yang sebelum ini tidak diperolehi pihak pembelaan ketika perbicaraan.
”Malah, berikutan permohonan anak guam kami ditolak bagi perintah sekatan sebelum permulaan perbicaraan SRC, beliau turut memohon kepada mahkamah bagi membolehkan perbicaraannya distrim secara langsung dalam talian bagi membolehkan masyarakat meneliti proses perbicaraan (ini satu amalan yang sudah dilaksanakan di pelbagai mahkamah di dunia), berbanding dengan hanya bergantung kepada laporan terhad yang dibuat oleh media perdana,” tegasnya.
Firma guaman itu berkata, sehingga hari ini Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan tidak pernah menggunakan sesen pun dari RM42 juta bagi diri sendiri dan tidak pernah meminta atau ditawarkan sebagaimana digambarkan dalam perbicaraan SRC.
Malah, sebagaimana dicatatkan dalam perbicaraan, beliau telah membelanjakan RM642 juta yang diterima dari akaun bank milik Kementerian Kewangan Arab Saudi bagi kegunaan inisiatif kebajikan atau melalui parti politik dan NGO, dan ini juga bukan untuk kegunaan diri sendiri.
“Anak guam kami turut menyatakan sekali lagi, beliau tidak pernah dan tidak akan meminta semua pertuduhannya digugurkan tanpa melalui proses kehakiman yang adil dan seimbang.
”Selain itu, bagi tempoh beberapa tahun ini, termasuk semalam, 14 November 2022, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan (dengan mengambil kira kenyataan saksi pendakwaan) bahawa semua barangan yang disita oleh polis dan SPRM pada 2018 ketika serbuan yang dikenali sebagai “Serbuan Pavillion dan Langgak Duta” ; bukan hasil dari aktiviti haram (termasuk 1MDB/SRC) tetapi adalah hadiah yang diberikan kepada anak guam kami dan keluarganya melalui tempoh beberapa dekad oleh pelbagai orang kenamaan, ahli keluarga dan rakan-rakan.
”Justeru, anak guam kami menggesa semua seteru politik agar tidak lagi menggunakan namanya bagi propaganda politik dan membenarkan proses perundangan dan kehakiman yang adil serta seimbang dapat dilaksanakan,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette