KUALA LUMPUR – Pasaran tawaran awam permulaan (IPO) meningkat 102 peratus dalam hasil yang diperoleh pada AS$681 juta (AS$1=RM4.6) berbanding 2021 selepas pandemik Covid-19, didorong oleh permintaan pelabur terhadap syarikat mempunyai asas perniagaan yang baik, kata firma perkhidmatan profesional Deloitte.
Penyedia audit dan jaminan global, perundingan, nasihat kewangan, cukai dan undang-udang syarikat itu juga berkata bilangan penyenaraian ACE meningkat dua kali daripada 11 pada 2021 kepada 22 tahun ini.
Ia berkata, kenaikan kadar faedah berpotensi menggalakkan lebih banyak syarikat yang mempunyai asas perniagaan yang baik untuk langkah penyenaraian kerana mereka boleh memanfaatkan pasaran ekuiti untuk asas pendanaan yang pelbagai dan lebih murah.
“Prestasi kukuh pada 2022, di sebalik situasi inflasi global, kenaikan kadar faedah dan ancaman kemelesetan, adalah bukti daya tahan pasaran modal Malaysia,” katanya pada sidang media maya Deloitte – prestasi pasaran dan prospek IPO Asia Tenggara 2022 hari ini.
Sementara itu, mengenai pasaran IPO Asia Tenggara Deloitte berkata, dana yang diperoleh adalah lemah merentas pasaran modal untuk 10.5 bulan pertama tahun ini, walaupun kiraan IPO dan permodalan pasaran IPO dijangka kekal stabil berbanding tahun sebelumnya.
Thailand dan Indonesia yang teratas di Asia Tenggara pada 2022 dengan masing-masing mengumpul melebihi AS$2 bilion, secara kolektif menyumbang 76 peratus daripada jumlah dana yang diperoleh di Asia Tenggara.
Terdapat bilangan penyenaraian kecil yang lebih tinggi tahun ini daripada syarikat kecil yang perlu mengumpul dana.
“Hanya terdapat dua IPO yang sangat berjaya, PT GoTo Gojek Tokopedia Tbk dan Thai Life Insurance, yang bermakna syarikat yang lebih besar bertahan dan menangguhkan penyenaraian mereka dengan menjangkakan keadaan pasaran yang lebih baik,” kata Deloitte.
Ketua Penasihat Acara Disruptif Deloitte Asia Tenggara dan Singapura Tay Hwee Ling berkata sebelum pandemik COVID-19, aktiviti IPO bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan KDNK tetapi berlaku sebaliknya dalam dua tahun kebelakangan ini.
“Pembukaan semula ekonomi dan sempadan dunia telah mencetuskan peningkatan inflasi global daripada 4.7 peratus pada 2021 kepada 8.8 peratus pada 2022, dan seterusnya meningkatkan kadar faedah Fed hampir 4 peratus sepanjang tahun dalam usaha untuk meredakan inflasi yang melonjak.
“Dalam menghadapi faktor makroekonomi ini, pasaran IPO Asia Tenggara telah bertahan dengan baik, sementara kami terus melihat potensi pertumbuhan dalam ekonomi kami,” katanya pada persidangan itu. – BERNAMA