KUALA LUMPUR – Sistem demokrasi yang diamalkan negara ini membenarkan mana-mana calon berkempen bagi menarik sokongan pengundi, asalkan tidak melanggar syarat dan peraturan ditetapkan.
Ada yang memasang bendera parti dan gambar calon dalam pelbagai saiz di sepanjang jalan termasuk menggunakan papan iklan di lebuh raya di sekitar ibu kota.
Namun, agak menarik dalam kempen berbaki tiga hari sebelum hari mengundi 19 November ini ialah strategi jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Kedua jentera terbabit menggunakan papan iklan untuk memasang gambar calon mereka iaitu Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gambar mereka yang dipaparkan dalam saiz besar itu boleh dilihat di sepanjang Lebuh Raya Sungai Besi, di sini.
Iklan itu turut mendapat perhatian dan perbincangan netizen di aplikasi TikTok, yang rata-rata menyifatkan sebagai kaedah kempen sihat yang mewarnai proses pilihan raya di Malaysia.
Seorang pengguna TikTok, Gorilla Mango telah memuat naik video papan iklan Anwar dan Ismail Sabri dengan kapsyen “Perang billboard, ampa (anda) pilih siapa?”.
Bagaimanapun, video yang dimuat naik itu menunjukkan tanda tidak bagus kepada Anwar selaku Presiden PKR, manakala tanda bagus kepada Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri dan calon BN bagi kerusi Parlimen Bera, Pahang.
Kandungan TikTok itu juga turut menarik perhatian ramai netizen lain yang dilihat memuji papan iklan berkenaan, selain memberi sokongan kepada Ismail Sabri.
Seorang netizen, Arilmahazir berkata, dia takut tengok papan iklan Anwar.
Pengguna lain, Hanifazizi00 berkata, Keluarga Malaysia selamanya.
“Sokong BN, sokong Ismail Sabri,” kata Kristineloh45.
“Ismail Sabri the best,” menurut akaun TikTok Cap Kaki Lima.
Malah, papan iklan Ismail Sabri juga menerima banyak emoji berbentuk hati berwarna biru sebagai tanda sokongan netizen kepada BN. – MalaysiaGazette