TAMPIN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang desas-desus berhubung kemungkinan berlaku rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah di luar pengetahuannya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut kerana tidak mempunyai maklumat mengenainya.
Mohamad menambah, beliau tidak terlibat dalam sebarang perundingan.
“Wallahualam, siapa berunding dengan siapa saya tak tahu, tapi dengan saya tak ada,” katanya kepada pemberita selepas program bersama jentera BN Parlimen Tampin di Repah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, calon BN bagi kerusi Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa.
Semalam, media melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membentuk kerajaan selepas PRU-15 hasil gabungan dengan parti lain, terutamanya BN.
Bagaimanapun, hari ini, Takiyuddin menafikan laporan tersebut sambil menegaskan, kenyataannya itu dilaporkan di luar konteks dan pada masa yang sama, tajuk yang digunakan mengelirukan pengundi.
Sementara itu, Mohamad berkata, sekurang-kurangnya 90 peratus penyokong BN perlu keluar mengundi bagi memastikan kemenangan memihak kepada parti.
“Kita nak pastikan calon kita menang macam kita buat di Melaka, Tanjung Piai dan Johor di mana peratusan keluar mengundi pengundi yang kita kenal pasti sebagai pengundi putih amat tinggi,” jelasnya.
Menurut beliau, BN beroleh bacaan tersebut hasil kajian sikap yang dijalankan oleh jentera wanita parti sejak 2018.
Calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau itu juga yakin banyak tempat kini yang mempunyai tahap sokongan lebih 50 peratus pengundi terhadap BN.
“Kalau pertembungan tiga penjuru ini kita tak boleh dapat 50 peratus pun, kalau dapat 44 ke 45 peratus pun dah OK sebab yang lagi 55 peratus tu bahagi dua, takkanlah satu parti boleh tak dapat apa langsung,
“Jadi itu cara saya membaca. Yang pentingnya bacaan itu akan menjadi tepat dan betul jika jentera berupaya mengeluarkan pengundi yang dikategorikan seramai mungkin,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, gerak kerja yang dilakukan oleh jentera BN pada hari mengundi Sabtu ini perlu diterjemahkan agar bacaan di atas kertas itu dapat direalisasikan. – MalaysiaGazette