Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR- Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tujuan gabungan parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH)

Malah, beliau juga tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat kenyataan itu selepas terdapat laporan mengatakan Takiyuddin mendedahkan Pas sedia berunding dengan BN untuk membentuk kerajaan sekiranya tiada parti yang mendapat bilangan kerusi yang cukup bagi membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Takiyuddin dalam satu kenyataan ringkas hari ini mengatakan, kenyataan beliau mengenai kerjasama BN-Pas pasca PRU15 telah disalah tafsir.

Pemimpin-pemimpin Pas juga mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu hanya mengeluarkan pendapat peribadi berhubung perkara terbabit.

Namun penganalisis- penganalisis melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang tidak mustahil.

Mereka berpendapat, Pas kini sedang mencari “kapal” selain PN supaya ia tidak tenggelam dan kekal relevan dalam politik negara.

Pas pernah bersama UMNO di bawah Muafakat Nasional, satu kerjasama yang menyaksikan dua seteru politik sejak sekian lama dan dua parti Melayu-Islam terbesar di Malaysia bernaung di bawah payung yang sama pada September 2019.

Bagaimanapun, parti itu memilih untuk meninggalkan UMNO pada Oktober tahun ini demi bersama PN dalam menghadapi PRU15.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. PAS tahu Bersatu tu lemah dan cuba menunggang PAS…yg rugi ialah PAS. Kalau bersama UMNO & BN dlm MN sama2 kuat..maka peluang utk menang PRU sangat besar…ni tak pasal2 sebab nak puaskan nafsu Muhyidin, PAS yg rugi…jd lebai malang laa…

Comments are closed.