KUALA LUMPUR – Proses pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah paling sistematik berbanding sebelum ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, daripada pengamatannya, beliau mendapati proses pengundian juga teratur dan terkawal.
“Hasil maklumbalas daripada pihak pemerhati SPR juga mendapati proses pembuangan undi awal pada PRU15 tahun ini adalah paling sistematik dan berjalan lancar berbanding proses mengundi awal sebelum ini dan saya berharap segala urusan undi awal terus lancar dan selesai mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas mengundi awal di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Katanya, seramai 118,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negara mengundi awal pada hari ini dengan 970 saluran peti undi dan 661 Pusat Daerah Mengundi (PDRM) dibuka pada jam 8 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu, Acryl Sani berkata, aduan kesalahan berkaitan kempen pilihan raya akan disiasat secara telus dan tanpa mengira latar belakang parti.
Tambah beliau, perbuatan khianat mengoyak poster dan membuang bendera parti layan berlaku pada setiap pilihan raya namun bilangan kes pada Pilihan Raya Umum ke-15 didapati berkurangan. – MalaysiaGazette