Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menerima sebanyak 96 kes yang melibatkan dakwaan pengabaian atau kecuaian ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak antara 2019 hingga 2022.

Pengerusi Suhakam, Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan aksi seorang wanita mendukung anak ketika melakukan aktiviti ‘flying fox’ di Kuala Kubu Bharu, Selangor, baru-baru ini.

“Suhakam berharap agar siasatan dapat dijalankan terhadap pengusaha premis tersebut bagi mengenalpasti sama ada terdapat unsur-unsur ketidakpatuhan kepada piawaian operasi standard (SOP) dalam mengendalikan pusat rekreasi aktiviti lasak.

“Ibu bapa atau penjaga turut digesa untuk lebih serius dalam memastikan keselamatan kanak-kanak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengusaha sukan rekreasi lasak perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan dan peraturan dalam memastikan keselamatan pengguna.

“Pengguna juga bertanggungjawab untuk mematuhi segala aspek keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” ujarnya.

Jelas Rahmat, pengabaian dan kecuaian ibu bapa merupakan satu jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

“Kecederaan atau kematian kanak-kanak bukan merupakan suatu pengabaian atau kecuaian hanya jika segala langkah dalam memastikan keselamatan kanak-kanak tersebut telah diambil.

“Suhakam mengesyorkan agar satu kerangka yang holistik diwujudkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar kes yang melibatkan pengabaian atau kecuaian dapat ditangani dengan lebih baik,” ujarnya.

Selaras dengan Seksyen 29A, Akta 611, masyarakat awam turut digalakkan untuk melaporkan kes pengabaian atau kecuaian kepada pihak PDRM melalui talian kecemasan 999 atau JKM di Talian Kasih 15999 atau melalui aplikasi whatsapp di 019- 2615999 sebagai satu usaha kolektif dalam membendung isu sebegini. -MalaysiaGazette