KUANTAN – Seramai 1,500 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) pulang ke kampung masing-masing bagi menggalas tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), sebanyak 20 bas telah disediakan bagi kemudahan mereka pulang ke dan balik semula ke kampus.
“Pelajar UMP diberi pelepasan kuliah dan aktiviti akademik untuk pulang mengundi dalam PRU15 bermula dari 17 hingga 21 November 2022 lanjutan pengumuman pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.
“Seramai hampir 1,500 pelajar bakal menggunakan bas dengan pergerakan fasa pertama penghantaran pada pukul 9.30 malam tadi yang melibatkan enam buah bas menuju ke destinasi Ipoh, Taiping, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Terengganu manakala 14 bas lagi akan bergerak sepanjang hari ini.
“Golongan berusia 18 tahun dan ke atas sebenarnya boleh dianggap matang. Mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohd Rusllim, penghantaran pulang pelajar diuruskan pihak UMP di bawah penyelarasan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan Sekretariat Anak Negeri.
Lapan Sekretariat Anak Negeri terlibat dalam inisiatif ini termasuk Sektetariat Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (SeMAMPAN), Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (Iskandar), Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA), Sekretariat Mahasiswa Perak (SILVER), Sekretariat Siswa Aman Makmur (ANSAR), Sekretariat Himpunan Siswazah Anak-anak Kelantan (SEHIMSAK), Sekretariat Mahasiswa Negeri Sembilan (Semanes) dan Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS).
Untuk rekod, seramai 1.14 juta orang yang tergolong pengundi berusia 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU15 kali ini termasuk mereka yang menuntut di universiti. – MalaysiaGazette