Cuti sempena pilihan raya yang diumumkan kerajaan menimbulkan keresahan dalam kalangan industri.

KUALA LUMPUR – “Cuti pilihan raya” yang diumumkan kerajaan pada 18 dan 19 November dijangka menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengalami kerugian antara RM5 bilion hingga RM6 bilion.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, cuti yang diumumkan secara tiba-tiba membawa implikasi yang besar kepada industri.

Beliau berkata, daripada mengumumkan cuti, negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman membenarkan undi pos untuk mengurangkan “cuti pilihan raya.”

Thian Lai berkata, Malaysia seharusnya mewujudkan budaya perniagaan “yang boleh dijangkakan” dan menambah baik sistem pengundian bagi mengurangkan gangguan terhadap korporat.

“Malangnya, tidak banyak pilihan dan cara yang kami ada untuk menangani atau menghadapi pengumuman cuti umum.

“Untuk mengurangkan kerugian ekonomi, kerajaan harus mempertimbangkan pemberian subsidi gaji sebagai gantian terhadap kerugian yang perniagaan alami dari segi kehilangan produktiviti dan masa kerja,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Presiden SME Malaysia, Ding Hong Sing berkata, majikan perlu menyediakan bayaran gaji tiga kali ganda atau gantian cuti kepada pekerja yang bertugas pada hari pengundian.

Katanya, kebanyakan majikan akan memilih kaedah gantian cuti bagi mengelakkan implikasi kewangan.

Beliau berkata, cuti pilihan raya juga dinikmati pekerja asing yang tidak mengundi.

Menurutnya, pengumuman cuti secara mendadak merupakan satu tamparan kepada industri yang berada dalam proses pemulihan pasca pandemik dan juga berdepan masalah kekurangan pekerja.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Datuk Tan Tian Meng berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan dan pertanyaan berhubung pengumuman “cuti pilihan raya.”

Katanya, peniaga berpendapat pengumuman cuti oleh kerajaan telah menganggu operasi korporat dan menyebabkan kerugian.