Dua jentera ladang rosak selepas peluru berpandu mendarat di Przewodow, Poland. Foto Twitter

WARSAW – Tentera Poland diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga pada petang Selasa selepas peluru berpandu mendarat di wilayahnya, membunuh dua orang.

Ia berlaku ketika Rusia melepaskan berpuluh-puluh peluru berpandu ke sasaran di Ukraine dan tentera Ukraine pula bertindak balas.

Letupan itu berlaku berhampiran dengan perkampungan Poland Przewodow, kira-kira 6 kilometer (4 batu) dari sempadan Ukraine.

Laporan awal mengatakan peluru berpandu itu telah mendarat di sebelah kawasan ladang, ketika pekerja memuat dan menimbang bijirin.

Peluru berpandu yang dipercayai tersasar itu telah memusnahkan bangunan berdekatan.

Dalam pada itu, pemimpin Poland dan Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) berkata, peluru berpandu yang membunuh dua orang di wilayah Poland itu berkemungkinan ditembak oleh tentera Ukraine yang mempertahankan negara mereka daripada serangan bertubi-tubi Rusia.

Oleh itu, kejadian itu disifatkan satu kemalangan.

Pada hari Rabu, Presiden Poland Andrzej Duda pada sidang akhbar berkata, ‘potensi besar’ ia adalah peluru berpandu pertahanan udara dari pihak Ukraine dan berkemungkinan telah jatuh di Poland dalam “kemalangan” semasa memintas peluru berpandu Rusia yang masuk.

“Tiada petunjuk bahawa ini adalah serangan yang disengajakan ke atas Poland. Kemungkinan besar, ia adalah roket S-300 buatan Rusia,” kata Duda dalam ciapannya awal Rabu.

Kedua-dua tentera Rusia dan Ukraine telah menggunakan peluru buatan Rusia semasa konflik, termasuk sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara S-300, yang Kyiv gunakan sebagai sebahagian daripada pertahanan udaranya.

Insiden di Poland, sebuah negara NATO, mendorong duta dari pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat untuk mengadakan mesyuarat tergempar di Brussels Rabu. – Agens

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast