Kompleks niaga Peserai yang hampir siap di Jalan Peserai, Batu Pahat.

PARIT SULONG – Pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjalankan aktiviti di Jalan Peserai di sini gembira kerana bakal mendapat tempat baharu untuk mereka berniaga bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Ini kerana kompleks niaga yang sedang dibangunkan hampir siap.

Rata-rata peniaga IKS yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, mereka kini lebih yakin untuk menjalankan perniagaan kerana tidak lagi perlu bersusah payah mengangkut barang jualan setiap hari.

Seorang peniaga makanan ringan, Raimah Husin, 52, berkata, impiannya untuk mendapatkan sebuah gerai hampir tercapai jika pembinaan kompleks berkenaan siap nanti.

Raimah Husin

Katanya, dia sudah tidak larat lagi untuk menjual makanan ringan seperti kerepek dan kuih tradisional dengan hanya berbumbungkan payung besar yang perlu dikemas setiap hari.

“Saya meniaga di sini dah 30 tahun. Dengan pembangunan macam ini untuk IKS memang bagus.

“Lagipun bila dibangunkan semula ia nampak memang cantik. Harapan saya nak dapatkan satu tempat di sini, jadi, tak perlulah saya meniaga macam ni, panas semua.

“Bagi saya memang baguslah untuk peniaga-peniaga IKS penjual kerepek macam saya ni boleh berniaga di sini nanti,” katanya.

Abdullah Hussein

Abdullah Hussein, 74, pula berpendapat sudah tiba masanya untuk mendapatkan sebuah gerai kerana kudratnya tidak lagi mampu untuk berpindah-randah kerana berniaga menggunakan lori.

Beliau berkata, anak-anaknya sudah acap kali menasihati agar tidak lagi melakukan kerja-kerja seperti itu, namun disebabkan minat dan sudah lama membuat kerja tersebut dia tetap gagah untuk melakukannya.

“Tapi, bila saya nampak ada projek pembangunan semacam ini, lebih bersemangat untuk saya teruskan kerja yang telah bertahun-tahun saya lakukan ini.

“Saya harap bila dah siap bangunan ini nanti, saya akan mendapat ruang untuk berniaga di sini bukan sahaja untuk keselesaan saya sendiri tetapi juga untuk pelanggan yang datang,” katanya yangmerupakan perniaga buah-buahan tempatan.

Salina Selamat

Sementara itu, bagi Salina Selamat, 67, turut berharap agar ada pihak dapat mmbantunya membuat permohonan bagi mendapatkan gerai di kompleks itu.

Katanya, dia mengetahui projek pembangunan kompleks berkenaan adalah di atas usaha yang dibuat oleh penyandang kerusi Parlimen di situ, Datuk Seri Noraini Ahmad.

“Boleh dapat kedai tak saya, saya pun nak. Kalau dapat tempatkan cantik berniaga macam itu.

“Insya Allah kalau ada yang bantu mungkin saya boleh dapat, bolehlah kalau ada rezeki. Alhamdulillah kalau ada yang boleh bantu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast