Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 20 kertas siasatan berkaitan pelbagai kesalahan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, polis juga melakukan empat tangkapan berkaitan kesalahan kempen PRU15 pada hari sama.

Katanya, daripada 20 kertas siasatan itu, masing-masing empat kertas siasatan telah dibuka di negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

“Sarawak merekodkan tiga kertas siasatan disusuli dua kertas siasatan dibuka di Sabah dan satu kertas siasatan dibuka di Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Manakala empat tangkapan yang dibuat membabitkan tiga di Pahang dan satu tangkapan di Sarawak.

“Tiga individu yang ditangkap di Pahang membabitkan kes di Bentong, insiden berbaur fitnah terhadap calon Pakatan Harapan di Bentong Young Syefura Othman di Lebuhraya CSR.

“Pada 16 November jam 2.06 pagi pasukan unit logistik mendapati tiga kain banting berlainan berbaur fitnah menyatakan Rara tipu orang muda, Tipu Hapus Tol dinaikkan sekitar Jalan Utama Industri dan Lebuhraya CSR sebelum berjaya mengesan dan menahan tiga lelaki tempatan yang kemudian mengaku menerima upah dari seorang individu bernama Alam Tiger,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semua kertas siasatan dan tangkapan sedang disiasat di bawah Seksyen 427, 500, 505 dan 506 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan, fitnah, khianat awam dan sebagainya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian perkhidmatan dan Seksyen 4(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Setakat semalam, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 2,148 permit ceramah politik membabitkan 14 negeri.

Katanya, Sabah mendahului jumlah kelulusan kebenaran berceramah iaitu 326 permit ceramah.

Manakala sebanyak 300 permit ceramah pula diluluskan di negeri Sabah diikuti Sarawak 293 permit ceramah kempen, Perak (221), Johor (208), Kedah (180), Kelantan (147), Selangor (112) dan Melaka merekodkan kelulusan 94 permit ceramah pada Rabu.

“Selain itu untuk kali kedua semalam tiada sebarang ceramah kempen politik yang dikesan diadakan tanpa kebenaran di negara ini selepas Isnin lalu,” ujarnya. –  MalaysiaGazette