Pengundi bersemangat pulang ke kampung halaman bagi menunaikan kewajipan sebagai warganegara semepena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kurang 48 jam sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) anak-anak perantauan sudah memulakan perjalanan pulang ke negeri masing-masing untuk mengundi pada Sabtu ini.

Memandangkan aliran trafik dijangka seteruk perjalanan pulang beraya, ramai warga kota memilih pengangkutan awam seperti bas ekspres.

Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini mendapati premis berkenaan sesak dengan penumpang yang sedang menunggu bas masing-masing.

Malah, kelihatan ramai yang masih cuba mendapatkan tiket bas di saat-saat akhir.

Muhammad Nabil Nazmi Mohd Nasir, 21 berkata, beliau berada di TBS untuk menebus tiket yang telah dibeli terlebih dahulu untuk pulang ke rumah di Kerian, Perak.

Pengundi, Muhammad Nabil Nazmi Mohd Nasir bercakap kepada media Malaysia Gazette emepena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

“Dah lama beli dan memang dah rancang nak pulang mengundi. Tak kesah kena bayar sampai RM50 untuk satu tiket yang terhad ini. Saya sanggup, lagi pun yang murah dah habis” kata beliau yang kini menuntut ilmu di Universiti Malaya (UM).

Keterujaan untuk mengundi buat kali pertama antara faktor yang menyebabkan beliau sanggup berhabis duit, katanya.

Bukan setakat teruja, malah beliau juga sudah memuktamadkan keputusan calon yang bakal diundinya pada 19 November ini.

Bagi pelajar jurusan Pengajian Makanan, Anis Norfikriah Mohd Faid, 22, pula, beliau juga berjaya mendapatkan sekeping tiket bas ekspres untuk pulang mengundi di Parlimen Rembau, Negeri Sembilan.

Pengundi, Anis Nurfikriyah Mohd Faid bercakap kepada media Malaysia Gazette emepena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

“Nasib baik dapat tiket bas, itu pun saya rasa mungkin sebab (destinasi) dekat jadi masih ada. Kalau tidak dapat tiket hari ini, saya akan minta ibu ayah jemput” ujarnya sambil tertawa.

“Saya takut nak mengundi sebab ini kali pertama tapi memang tidak mahu lepaskan peluang ini,” kata pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sebelum menaiki basnya pada jam 1.30 tadi.

Rabiah Elias, 22 dan tiga rakannya yang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak juga antara yang berkesempatan untuk pulang mengundi.

Pengundi, Rabiah Elias bercakap kepada media Malaysia Gazette emepena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

Rabiah mengundi di Parlimen Iskandar Puteri, manakala tiga rakannya di Kluang; Segamat; dan Johor Bahru.

“Saya sudah merasa mengundi di peringkat Pilihan Raya Negeri (PRN), tapi kali ini di peringkat Parlimen jadi kami memang tidak mahu lepaskan peluang ini.

“Tapi masih belum buat keputusan sebab belum berjumpa dengan calon-calon, kita harap calon akan turun di kawasan berdekatan supaya dapat mengenali mereka dengan lebih lanjut dan mendengar sendiri manifesto masing-masing,” katanya.

Selain mahasiswa, Noraini Mohamed, 65, antara yang kelihatan berada di balai berlepas TBS.

Wanita warga emas yang ditemani anak perempuannya sedang menunggu bas untuk pulang mengundi di Plentong, Johor.

Pengundi, Noraini Mohamed bercakap kepada media Malaysia Gazette emepena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

Menurut Noraini yang kini menetap di Cheras bersama anak-anaknya, selain mahu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat, beliau juga memang berhasrat untuk pulang ke negeri asal yang sudah sekian lama ditinggalkan.

“Makcik dah mengundi buat kali keenam, dan taknak lepaskan peluang makcik untuk pilih pemimpin. Dalam hati makcik ni dah buat keputusan muktamad.

“Nasib baik anak dah belikan tiket awal-awal. Kalau tiada tiket bas, memang sudah hilang satu undi daripada makcik,” katanya dalam nada bergurau.

Dalam kesesakan di TBS, kelihatan sekeluarga yang membawa bagasi lebih banyak berbanding yang lain.

Rupanya Norhana Abdullah 48, bersama adik dan anaknya beratur untuk membeli tiket pulang ke Pahang.

Pengundi, Norhana Abdullah bercakap kepada media Malaysia Gazette emepena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

Mereka yang baru sahaja pulang mendaki gunung di Sabah dan berhasrat untuk pulang mengundi namun menemui jalan buntu kerana tiket sudah habis dijual.

“Kami baru balik mendaki Gunung Kinabalu dan hendak balik Kuantan untuk mengundi. Kami bercadang mahu menaiki bas kerana tidak larat untuk memandu. Malangnya, apabila tiba di sini baru kami tahu tiket habis.

“Walau macam mana pun nak balik juga, kalau tak rugi dua undi pengundi setia ini,” kata pengundi Parlimen Pekan itu.

Katanya, bukan tiket bas ekspres ke Kuantan sahaja habis dijual. Malah, tiket ke Temerloh mahupun Muadzam Shah juga habis “disapu” sehingga Ahad. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast