Mohamed Khaled Nordin

KOTA TINGGI – Calon Kota Tinggi Datuk Mohamed Khaled Nordin mengharapkan rakyat khususnya penduduk Kota Tinggi supaya bijak memilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam pemilihan pada Sabtu ini.

Katanya,rakyat harus menggunakan hak dan kesempatan untuk keputusan bermanfaat kepada negeri dan negara.

“Gunakanlah peluang dan ruang untuk menzahirkan keputusan anda semua yang tentunya dapat memberi kebaikan kepada ekonomi ,pembangunan negara dan negeri kita khususnya di Parlimen Kota Tinggi itu sendiri.

“Saya mohon sokongan dan dukungan semua pihak terutama penduduk di Kota Tinggi supaya memberikan saya peluang untuk berkhidmat.

“Keputusan anda (pengundi) semua sudah pasti memberi kesan sama ada baik atau sebaliknya dalam tempoh lima tahun lagi,”katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Khaled bersama anak muda di Parlimen Kota Tinggi dalam program turun padang, baru-baru ini.

Tambah beliau, rakyat perlu bijak membuat pilihan dan tidak sekali lagi terpedaya dengan fitnah dan tomahan parti pembangkang yang hanya mahu meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbaki sehari sahaja lagi.

Rakyat perlu mengingati semula bagaimana pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama tempoh 22 bulan menerajui negara.

Malah, katanya, beliau yakin bahawa rakyat sudah mula sedar  parti lawan hanya menanam kebencian kepada BN untuk memenangi pilihan raya.

Naib Presiden UMNO itu akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi pada (PRU) ke-15 pada Sabtu ini.

Beliau berpindah dari Parlimen Pasir Gudang yang ditandinginya pada PRU-14.

Manakala tempat Mohamed Khaled di Pasir Gudang akan diambil alih calon muka baru yang juga Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros.

Terdahulu belas Menteri Besar Johor itu kalah di parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Ketika itu Khaled ditewaskan calon HARAPAN Hassan Karim dengan majoriti besar 24,726 undi.

Di Permas, Khaled ditumpaskan oleh Che Zakaria Mohd Salleh, juga daripada HARAPAN, dengan 8,746 undi ketika itu.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast