GAZA -Sekurang-kurangnya 21 orang – termasuk 10 kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran di sebuah bangunan di kem pelarian yang padat di Semenanjung Gaza.
Kebakaran sudah dapat dikawal.
Bagaimanapun, angka kematian di kem pelarian Jabalia itu berkemungkinan meningkat.
Pengarah Hospital, Dr Salah Abu Laila berkata, kebakaran itu dipercayai akibat kebocoran gas dapur.
Jabalia adalah satu daripada lapan kem di Gaza.
Salah menyifatkan kebakaran itu besar kerana keseluruhan bangunan tersebut terbakar.
Orang ramai kelihatan menjerit di luar bangunan yang terbakar, manakala saudara-mara mangsa berada di jalanan menangis sambil berdoa.
Seorang penduduk tempatan yang bergegas ke tempat kejadian berkata, petrol di simpan di dalam bangunan itu untuk mengendalikan generator.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi negara dan mengumumkan hari berkabung pada hari Jumaat.
Kebakaran maut – selalunya disebabkan oleh lilin – telah menjadi perkara biasa di Gaza kerana kekurangan bekalan elektrik disebabkan sekatan yang dikenakan ke atas wilayah itu oleh Israel dan Mesir sebagai langkah keselamatan.
Gaza mempunyai seramai 2.3 juta orang penduduk, antara kawasan yang padat di dunia.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hampir 600,000 pelarian di Gaza tinggal di lapan kem yang sesak. – Agensi