PORT DICKSON – Perancangan Kemakmuran Port Dickson yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) mengandungi janji-janji yang boleh dilaksanakan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.
Calon BN bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk P. Kamalanathan berkata, pihaknya tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat.
Menurut beliau, berbeza dengan Pakatan Harapan (PH), BN tidak pernah memungkiri janji-janji yang dibuat semasa pilihan raya.
“Saya akan mewujudkan unit pelaksanaan dan penyampaian (PADU) bagi memastikan segala janji yang ditawarkan dalam perancangan ini dilaksanakan.
“Kita akan memberi maklumat tentang status pelaksanaan dari semasa ke semasa termasuk melalui media sosial,” katanya dalam sidang media pelancaran Perancangan Kemakmuran Port Dickson di Bangunan UMNO Bahagian Port Dickson di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi BN Parlimen Port Dickson, Datuk Mohd. Faizal Ramli, Ketua MIC Bahagian Port Dickson, Datuk M. Veloo dan Ketua MCA Bahagian Port Dickson, Datuk Seri King Lim.
Kamalanathan turut menyeru kepada para pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson agar tidak terperdaya lagi dengan janji-janji manis yang ditaburkan PH.
“Banyak cadangan yang dikemukakan PH tidak dapat dilaksanakan contoh nak hapus bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya harap rakyat jangan sekali lagi terperangkap dengan janji-janji ini,” jelasnya.
Perancangan Kemakmuran Port Dickson yang dibentangkan Kamalanathan mengandungi lima perkara teras iaitu memperkukuh ekosistem pembangunan belia, pemerkasaan wanita dan golongan rentan kunci pembinaan negara, agenda pendidikan masa depan holistik, kesejahteraan sosial dan pembangunan sosiekonomi serta menyokong pembangunan kental iklim.
Antara tawaran BN kepada rakyat di Port Dickson adalah mewujudkan Port Orang Muda, PD Kerja, Seapreneur Belia, menaik taraf kemudahan Kompleks Sukan Teluk Kemang dan mencungkil bakal masa depan dalam bidang e-sukan.
Selain itu, BN menawarkan inisiatif Usahanita PD, pemberian kit kebersihan wanita, kebajikan orang kurang upaya (OKU) dan orang asli, PD TVET Bootcamp, Dasar Satu Keluarga Satu Graduan, pembinaan sekolah berasrama penuh atau maktab rendah sains Mara (MRSM), PD Niaga serta pembinaan jeti menghubungkan Port Dickson dan Pelabuhan Dumai di Sumatera.
Tawaran-tawaran lain termasuk mengatasi kesesakan lalu lintas, menaik taraf jeti Kampung Teluk Pelanduk sebagai Kompleks Seapreneur Negeri Sembilan, Skim Bantuan Pendapatan Asas Automatik, PD Green Deal, mitigasi banjir dan dana khusus mangsa bencana alam akibat pencemaran alam sekitar. – MalaysiaGazette