BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan unsur sabotaj terhadap kenderaan kempennya hari ini.
Ketika dihubungi MalaysiaGazette, beliau kesal ada pihak dengan sengaja menyimbah cat merah ke bahagian sisi sebuah kenderaan autonomi yang akan digunakan pada Karnival Bentong yang akan diadakan di bandar itu malam ini.
“Kenderaan Neolix Autonomous Vehicle ini diletakkan di hadapan Hotel Kristal dan ditutup dengan kain kalis air, ” katanya.
Jelas Tiong Lai, kejadian tersebut disedarinya pada pukul 10 pagi tadi apabila pihaknya mahu menukar bateri kenderaan itu.
“Pagi ini, apabila pasukan kempen mahu menukar bateri kereta itu, mendapati sebahagian sisinya telah disimbah cat merah dan poster saya pun turut kena cat.
“Berdasarkan kesan yang ditinggalkan, pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menyingkap kain kalis penutup, simbah cat dan menutup balik kain itu,” katanya.
Selain itu, beliau juga membertitahu individu atau pihak tidak dikenali itu juga telah bertindak melempar telur di bahagian cermin hadapan kenderaan itu.
Susulan itu, katanya, wakilnya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Bentong hari ini.
“Perbuatan ini merupakan budaya politik yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Beliau mahu para pengundi Bentong untuk keluar membuat pilihan dengan bijak menolak pihak-pihak yang cenderung kearah politik kotor dan memilih calon yang terbaik.
Pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, Tiong Lai bakal berentap dengan Young Syefura Othman (PH), Datuk Roslan Hassan (PN), dan dua lagi calon bebas iaitu Achik Khalil dan penyandang kerusi Bentong, Wong Tack. – MalaysiaGazette