KUALA SELANGOR – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dianggap sebagai ibu kepada segala pilihan raya selepas negara melalui episod ketidakstabilan dengan tiga pentadbiran kerajaan yang berbeza dalam satu penggal Parlimen ke-14.
Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 menyaksikan Malaysia ditadbir Pakatan Harapan (PH) hanya dalam tempoh 22 bulan sebelum tumbang akibat tindakan drastik Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selepas itu, bermulalah episod pentadbiran negara melalui konsep kerajaan campuran yang pertama kali dalam sejarah, antara Bersatu, Pas dan UMNO yang mana Tan Sri Muhyiddin Yassin mengepalai Kerajaan Persekutuan ketika itu.
Bagaimanapun Kerajaan Perikatan Nasional hanya bertahan 17 bulan dan tumbang selepas blok Barisan Nasional (BN) menarik semula sokongan susulan kegagalan ahli Parlimen Pagoh itu menangani pandemik Covid-19.
Keberantakan Kabinet Muhyiddin tidak dapat dibendung apabila aktiviti ekonomi negara terjejas teruk akibat keputusannya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat 2021.
Kemudian tertubuhnya Kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah memperoleh konsensus antara tiga parti Melayu Islam itu yang turut kecundang selepas 14 bulan memerintah akibat ugutan 12 pimpinan termasuk Menteri dan Timbalan Menteri daripada PN.
Kini mandat dikembalikan semula kepada rakyat setelah pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada lebih 21 juta pengundi untuk memilih kerajaan baharu dalam PRU15, esok.
Namun pilihan raya kali ini cukup berbeza berbanding PRU14 apabila seramai 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama dan bakal menentukan parti mana diberi mandat untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil.
Belum pun hari pengundian esok, beberapa kawasan Parlimen di Selangor sudah dapat dilihat parti mana yang berpotensi bertukar tangan sama ada PH, PN mahupun BN sendiri.
Selain faktor ketidakstabilan kerajaan, perpecahan dan sabotaj dalaman beberapa parti utama bakal memberi kesan kepada kerusi Parlimen yang ditandingi, khususnya apabila berlaku pertembungan lebih tiga penjuru.
Kerusi P095 Tanjong Karang, antara kawasan Parlimen yang bakal bertukar tangan susulan tindakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mencalonkan semula penyandangnya, Tan Sri Noh Omar yang memenangi kerusi itu selama enam penggal berturut-turut sejak 1995.
Parlimen Tanjong Karang merupakan satu-satunya kerusi tunggal yang dimenangi BN dari 22 kerusi di Selangor ketika tsunami politik dalam PRU14 lalu.
Parlimen Tanjong Karang yang dianggap kubu kuat UMNO-BN sebelum ini bakal tergugat dek kerana penyandangnya yang juga Pengerusi BN Selangor digugurkan daripada senarai calon kali ini.
Perasaan tidak puas hati dan kesal tidak dapat dibendung lagi, bukan sahaja dalam kalangan jentera parti, bahkan Noh sendiri tanpa segan silu mendedahkan komplot menjatuhkannya dalam hampir setiap ceramah yang dihadirinya dari utara hingga ke selatan Selangor.
Lebih mengejutkan Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak sekali pun turun ke Tanjong Karang berkempen untuk calon BN, Datuk Habibah Mohd Yusof sehingga beberapa jam sebelum tempoh berkempen berakhir tepat jam 11.59 malam ini.
Bagaimanapun beberapa kerusi Parlimen lain yang dimenangi PH dalam PRU14 lalu di Selangor berpotensi untuk bertukar tangan termasuk Sungai Buloh dan Kuala Selangor.
Strategi BN yang mempertaruhkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz masing-masing di Parlimen Sungai Buloh dan Kuala Selangor bakal memecah tradisi kemenangan PH khususnya di kawasan sub bandar.
Kedua-dua tokoh ini merupakan figura yang boleh dikatakan agak berjaya menarik perhatian pengundi di dua kawasan Parlimen ini, yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan setiap kali bertemu rakyat di lapangan.
Kehadiran kedua-dua figura ini sentiasa dinantikan masyarakat kawasan, apatah lagi kerap pulang lewat dek kerana ramai yang tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan kedua-dua Menteri Kabinet Keluarga Malaysia ini.
Kedua-dua figura ini tidak menjanjikan bulan dan bintang, namun isu kemudahan asas masih berbangkit termasuk jalan raya, rangkaian jalur lebar dan talian telefon menjadi keutamaan dalam manifesto mereka kali ini.
Apa pun isu mahupun pergolakan yang berlaku dalam sesebuah parti itu, penentunya adalah hari pembuangan undi, esok. – MalaysiaGazette