BUNTONG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong, S Jayagopi bukanlah ‘payung terjun’ mahupun muka baharu dalam arena politik sebaliknya beliau anak jati kawasan ini.

Malah, Jayagopi yang juga Pengerusi MIC Bahagian Ipoh Barat berkat, beliau bukan sahaja lahir dan dibesarkan di DUN ini sebaliknya berkecimpung dalam dunia politik Buntong selama 47 tahun.

“Benar ini kali pertama saya diberikan peluang bertanding di Buntong, tempat lahir saya tetapi saya sudah ‘masak’ di sini. Ini tempat saya, keluarga saya, orang saya, makanan saya. Saya bukan sahaja telah lama di sini tetapi juga telah lama berkhidmat.

“Mungkin untuk beberapa penggal kebelakangan ini, pengundi di sini memberikan sokongan dan undi mereka kepada wakil rakyat DAP, saya tidak kritik mahupun menuding jari kepada sesiapa. Sekarang saya hanya mahu pengundi melihat kesungguhan BN dalam membela dan memperjuangkan nasib masyarakat setempat.

“Bukan sahaja BN sebaliknya parti yang saya wakili, MIC juga adalah suara kepada masyarakat India secara keseluruhan, sama ada masyarakat bersetuju atau tidak, itulah hakikatnya. MIC juga telah berada di sini berjuang untuk komuniti saya lebih 70 tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lantaran itu beliau menaruh harapan agar pengundi Buntong dapat menilai perkhidmatan yang dibuat selama ini kepada meraka.

Walaupun BN tidak dipilih mewakili pengundi di sini tetapi Jayagopi sentiasa memberi perkhidmatan sebaik mungkin.

“Saya telah menawarkan perkhidmatan  untuk sekian lama, pusat khidmat saya sentiasa ada untuk penduduk setempat walaupun kami bukan wakil rakyat selama ini, rumah saya sentiasa terbuka selama ini,” tambahnya.

Kata Jayagopi yang memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan seorang ahli perniagaan, beliau sentiasa mahu mendekati masyarakat dan itulah yang memberi inspirasi kepadanya untuk terus berjuang walaupun untuk sekian lama kerusi DUN itu bukan milik BN.

Beliau yang memegang jawatan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh antara tahun 2020 sehingga kini berjaya  mendapatkan kelulusan hak milik tanah untuk ‘Christ The King Chapel’ yang baharu,  wujudkan peluang pekerjaan kepada belia di kawasan Buntong, peruntukan ganti pagar besi, bina rumah pam supaya kawasan tidak banjir di Jalan Abdul Manap.

Selain itu berjaya menaik taraf bulatan Tun Sambathan di Buntong, ganti bumbung di Pasar Buntong, turap jalan Persiaran Harmoni.

“Malah, saya juga yang berusaha mendapatkan kelulusan hak milik dengan geran untuk 133 penduduk asal Kg Chekaddi di Bemban Batu Gajah, pembinaan jalan baru bersebelahan Jalan Harmoni Utara, Buntong dan kelulusan menamakannya  Datuk Seri Azlani Selvamani bagi mengenang tokoh pendidikan itu” katanya lagi.

Jayagopi menambah, senarai ini sebenarnya panjang kerana tempoh beliau berkhidmat dan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kebajikan, sosial masyarakat setempat  sangat banyak.

“Saya cuma hendak kata satu sahaja, jika tanpa jawatan wakil rakyat saya mampu lakukan semua ini, BN mampu lakukannya, mengapa tidak undi itu diberikan kepada kami? Ingatlah, masa depan kita di Buntong ini amat penting. Masa berpolitik dan tuding jari sudah tamat, kita hendak bangunkan Buntong itu sahaja,” tegasnya.

Jayagopi akan berdepan lima penjuru iaitu M Thulasi (PH), Sivasubramaniam (PN) dan dua calon bebas, Iruthiyam Sebastiar Anthonisamy serta Muhammad Faiz Abdullah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast