NIBONG TEBAL – Pembinaan pasar terapung atau ‘floating market’ di Sungai Kerian menjadi antara agenda yang akan dilakukan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri R.S.Thanenthiran sekiranya diberi mandat oleh penduduk kawasan itu.
Beliau yang lebih mesra disapa sebagai ‘Cikgu Thanen’ berkata, ia merupakan sebahagian daripada agenda memperkasa pelancongan serta pendapatan penduduk yang terkandung dalam aku janji beliau kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelas beliau, pembinaan pasar terapung itu juga secara tidak langsung akan menyelesaikan masalah banjir yang menghantui penduduk lebih 10 tahun.
“Bila saya turun santuni penduduk mereka mengadu kawasan itu kerap banjir berpunca air daripada Sungai Kerian jadi saya rasa mengapa tidak kita tukarkan keadaan itu kepada suasana yang positif.
“Sungai Kerian itu merupakan lokasi yang sangat strategi jika dibangunkan kerana ia merupakan titik tengah menghubung tiga negeri itu Pulau Pinang, Kedah serta Perak.
“Jadi kalau kita buat floating market di sini bukan saja dapat mengamit pelancongan malah akan menjana pendapatan penduduk tiga negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Untuk makluman, panjang Sungai Kerian adalah 90 kilometer manakala Kuala Sungai Kerian di Kampung Acheh terletak dalam daerah Seberang Perai Selatan.
Mengulas lanjut Thanenthiran berkata, jika ia dibangunkan untuk pelancongan sudah semestinya kawasan itu akan dinaik taraf termasuk dari segi sistem saliran dan sekali gus mampu menyelesaikan masalah banjir.
“Kita akan luaskan sistem saliran jadi impaknya juga akan dirasai pesawah kerana terdapat kawasan penanaman padi yang luas berhampiran kawasan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai penerima penduduk susulan hari pengundian kurang 24 jam, Thanenthiran berkata, meskipun Nibong Tebal kubu kuat pembangkang sejak tahun 2008 namun tidak menghalangnya untuk mendekati rakyat.
“Rakyat sekarang tak macam dulu, mereka sudah berubah mahu terima calon baru walaupun bukan daripada Pakatan Harapan.
“Sokongan daripada jentera BN yang bagus turut menjadi faktor kempen serta porgam kami santuni rakyat berjalan lancar. Bagi saya penduduk di sini mahukan perubahan sebab itu kehadiran saya disambut begitu baik.
“Kita harap penerimaan yang ditunjukkan penduduk sepanjang tempoh kempen dibuktikan dalam kertas undi esok,” katanya. – MalaysiaGazette