KUALA LUMPUR – Seramai 249 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) pulang ke kampung halaman menaiki lapan buah bas percuma yang diselaras Kelab Patriot Chapter Perak UUM untuk memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama.
Mereka merupakan antara 21 juta pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November ini.
Pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Reenha Rajendran bertekad memanfaatkan peluang ini untuk turun mengundi selain meluangkan masa bersama keluarga sempena cuti semester sehingga 26 November ini.
“Pada pandangan saya, pilihan raya adalah satu proses untuk memilih calon yang sesuai untuk memerintah. Calon ini akan menjadi wakil kepada rakyat.
“Mengundi pula adalah tanggungjawab rakyat Malaysia yang wajib dilaksanakan sebagai tanda sayang pada negara,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Nur Qistina Aqilah berkata, dia akan memilih pemimpin yang bersih, berintegriti, boleh berkhidmat untuk rakyat dan bukannya membuat sesuatu untuk kepentingan diri.
Pelajar Sarjana Muda Perakaunan itu menyambut baik tindakan kerajaan yang menukar polisi pengundian dalam pilihan raya daripada umur 21 kepada 18 tahun bagi memilih dalam PRU kali ini.
“Pada saya, undi 18 tahun amat bagus sebab suara orang muda dapat didengari dan mahasiswa dapat memainkan peranan dalam memilih kerajaan.
“Saya berharap kerajaan baharu yang akan menerajui negara ini dapat memperkasakan sistem pendidikan dan melaksanakan pemerintahan yang adil kepada rakyat tanpa mengira bangsa,” ujarnya yang akan pulang ke Ipoh.
Bagi pelajar Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Chan Wen Hui gembira untuk mengundi buat pertama kali dan telah menunggu bersama rakan-rakan seawal 7.30 pagi untuk pulang ke kampung halaman di Teluk Intan, Perak.
“Saya berasa gembira sebab sudah lama tak balik kampung untuk berjumpa ibu bapa dan keluarga tersayang. Menariknya kali ini saya akan mengundi buat pertama kali untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang warganegara.
“Pada pilihan raya kali ini, saya ingin memilih kerajaan yang bertanggungjawab dan bijak dalam mentadbir negara dan yang penting memenuhi aspirasi, dan apa yang rakyat perlukan,” katanya.
Perasaan ini turut dikongsi Pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Iqmal Qamil Mawar yang berasa teruja kerana akan membuang undi buat kali pertama dalam PRU15 ini.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam kenyataan berkata, beliau berharap setiap pelajar dapat memainkan peranan sebaiknya dalam memilih calon yang benar-benar menepati kriteria selaku pemimpin.
Beliau turut mendoakan agar semua pelajar yang pulang ke kampung dapat tiba dengan selamat di destinasi masing-masing.
Pada PRU15 ini, dijangka 33 ribu pelajar UUM akan melaksanakan amanah buat kali pertama sebagai pengundi apabila Undi18 diwarta dan dikuatkuasakan bermula 15 Disember 2021. -MalaysiaGazette