IPOH – Pengundi-pengundi yang bakal memilih ahli Parlimen baharu di Tambun sekali lagi diingatkan logo PKR yang diguna pada Pilihan Raya Ke-14 pada tahun 2018 dan logo Pakatan Harapan yang diguna pada PRU15 adalah parti sama.
Oleh itu, pengundi-pengundi di kawasan itu dinasihatkan tidak lagi ditipu seperti mana yang pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kata calon Barisan Nasional Datuk Aminuddin Hanafiah.
“Sekarang PH dan masih PH. Diterajui oleh orang-orang yang sama kecuali beberapa orang Bersatu yang telah melompat bertukar ke Perikatan Nasional.
“Mereka kolasi yang sama menjanjikan pelbagai tawaran kepada pengundi pada 2018 dan gagal.
“Pada saya di situ mereka tidak ada kelebihan kerana 2018 mereka menjanjikan sesauatu yang tidak boleh dicapai dan gagal,” katanya yang berkempen di Kedai Kopi Perpaduan di sini.
Menjelang kempen-kempen terakhirnya yang tinggal beberapa jam sebelum detik 11.59 malam ini, Aminuddin berkata, berbanding pada 2018, beliau dapat merasai perubahan masyarakat bukan Melayu terhadap BN kali ini.
“Pengundi nampak lebih terbuka. Pada 2018 nampak jelas seakan-akan penolakan daripada pengundi awam untuk ditemui dan dipujuk.
“Tapi pada kali ini masayarakt Cina, India menunjukkan sikap lebih terbuka. Saya rasa mereka mempunyai lebih pilihan. Tidak seperti dahulu yang tertumpu pada satu parti yang mereka rasa perlu diberi peluang untuk memerintah,” jelas Aminuddin.
Aminuddin menyifatkan dirinya sebagai ‘underdog’, berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan penyandang kerusi adalah cara yang tepat.
Bagaimanapun Aminuddin menegaskan tidak bermakna kedua-dua ‘gergasi’ itu tidak dapat dikalahkan.
“Bila kita berlawan dengan penyandang dan presiden parti cara terbaik ialah sentiasa meletakkan diri sebagai underdog.
“Tapi dalam masa itu saya tidak mengatakan bahawa mereka pasti menang.
“Kemenangan itu dari segi matematik masih terbuka. Hari ini hari terakhir saya mengambil peluang untuk melakukan walkabout bertemu pengundi bagi memohon sokongan mereka,” katanya yang mula berkempen pada jam 6 pagi tadi. – MalaysiaGazette