Pelajar-pelajar memasukkan barang ke dalam bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU-15.

SERDANG – Seramai 1,355 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) pulang ke kampung masing-masing sejak semalam dan hari ini  dengan 42 buah bas untuk menunaikan kewajipan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman mengucapkan selamat jalan kepada pelajar UPM

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, pergerakan pelajar pulang dibuat mengikut empat zon iaitu Zon Pantai Timur, Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pembahagian negeri mengikut zon itu ialah Zon Utara terdiri dari negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, sementara Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) dan Zon Tengah (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta KLIA).

“Kita menyediakan bas secara percuma kepada pelajar-pelajar untuk pulang ke kampung. Jadi gunakanlah peluang ini dengan sebaiknya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU15 ini.

“Saya juga berharap pelajar menjaga keselamatan diri masing-masing dan menjaga kesihatan semasa balik ke kampung dan mengundi,” katanya ketika melepaskan bas-bas UPM dengan disertai oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan UPM.

Pihak pengurusan UPM memantau pergerakan mahasiswa pulang ke kampung.

Mohd Roslan berkata, UPM turut menyelaraskan pergerakan pelajar di kampus Bintulu Sarawak untuk ke Lapangan Terbang Bintulu bagi pulang mengundi di kawasan masing-masing.

“Sebanyak 42 pergerakan bas telah disediakan oleh UPM bagi melancarkan penghantaran pulang pelajar. Setiap zon mempunyai satu pergerakan sehari iaitu pada pukul 8,  kecuali pergerakan ke KLIA dibuat pada jam 5 pagi, 12 tengah hari dan 4 petang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr Arifin Abdu berkata, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Felo Kolej Kediaman, Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Perwakilan Kolej sentiasa memantau pergerakan pulang pelajar dari kampus.

“Setiap pergerakan bas yang dinaiki pelajar akan disertai oleh seorang pemantau yang terdiri daripada staf UPM untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan dipatuhi,” katanya.

Mengulas mengenai Undi 18 sempena PRU ke-15, Arifin menyifatkan pelajar UPM telah bersedia dan matang dalam menjalankan tanggungjawab Undi 18 kerana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM telah membentuk kesedaran pelajar melalui proses pilihan raya kampus.

“Saya berpesan, sebagai mahasiswa UPM yang telah matang, elakkan daripada terjebak atau terpengaruh dengan perkara-perkara negatif semasa pilihan raya.

“Saya yakin pelajar-pelajar UPM akan menjadi contoh kepada generasi muda di Malaysia dalam menjalankan kewajipan sebagai pengundi berusia 18 tahun. Mahasiswa UPM telah dididik sejak peringkat kampus lagi untuk memilih calon kepimpinan dalam PRU nanti,” katanya. – MalaysiaGazette