LIPIS – Seramai 240 pengundi di Kampung Binjai dibawa menaiki bot oleh anggota keselamatan ke pusat mengundi, hari ini, berikutan perhubungan darat terputus akibat hujan sejak dua hari lalu.
Penduduk kampung tersebut terkandas apabila paras air Sungai Lipis meningkat.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendent Azli Mohd Noor berkata, bantuan membawa penduduk kampung itu dilakukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Keadaan terkawal dan pengundi dihantar balik sejurus selesai membuang undi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati tiga buah bot digunakan untuk membawa penduduk kampung itu menyeberang sungai seawal jam 7 pagi ini.
Kampung Binjai sering terputus hubungan apabila hujan berterusan lebih dua hari. – MalaysiaGazette