KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendakwa dua pusat mengundi di kawasan parlimen itu dibuka lewat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gara-gara berdepan masalah bekalan elektrik.
Beliau yang juga penyandang kerusi itu memberitahu, ia membabit pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya manakala Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Saraswathy, puncanya masih belum diketahui.
Ketua Penerangan PKR itu berkata, beliau akan melawat pusat mengundi berkenaan selain pusat lain sepanjang hari.
“Saya telah dimaklumkan oleh pegawai SPR tentang isu ini dan bagi pusat mengundi yang lewat dibuka, masa tamatnya akan turut dilanjutkan.
“Namun saya berpuas hati dengan proses perjalanan mengundi hari ini walaupun hujan renyai sejak awal pagi,” katanya selepas selesai mengundi di pusat mengundi SMK Seri Pantai, di sini, hari ini.
Fahmi tiba di pusat mengundi dpada pukul 8.35 pagi dan beliau selesai mengundi kira-kira 10 minit kemudian.
Pengundi pula dilihat mengambil kesempatan keluar mengundi awal walaupun hujan renyai sejak awal pagi ini. – MalaysiaGazette