KUANTAN – Seorang bapa reda dengan pemergiannya anak perempuannya, menantu dan seorang cucunya yang mati selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh raya Pantai Timur (LPT) ketika dalam perjalanan balik ke Bukit Sagu untuk mengundi.
Mansor Rejab, 72, akur dengan ketentuan takdir hiba mengenang nasib tiga lagi cucunya yang cedera itu yang hilang ibu dan bapa dalam sekelip mata.
Anak perempuannya, Faieznoor Mansor, 32, maut bersama suaminya, Mohammad Shafiq Zailani, 33, selepas kenderaan pacuan empat roda dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di di Kilometer 200.5 di Lebuhraya Pantai Timur.
Lebih menghibakan apabila cucunya seorang bayi lelaki, Daryan Marwa turut terkorban dalam nahas berkenaan.
“Anak perempuan tidak sempat menunaikan hajat untuk balik mengundi tapi arwah suaminya sempat mengundi di Jengka tadi, jadi mereka dalam perjalanan pulang.
“Terserah pada takdir, nak buat macam mana sudah sampai takdir dia,” katanya dengan hiba namun kekal tenang ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Kali terakhir Mansor berhubung dengan anaknya melalui mesej yang memaklumkan akan pulang balik mengundi selepas mengundi di kampung suaminya dahulu.
“Arwah suaminya (menantu) balik mengundi di Jengka 6, jadi mereka sekeluarga pulang ke Bukit Sagu. Saya ingat dia bawa kereta seorang, rupanya sekeluarga bersama suaminya,” katanya.
Pasangan suami isteri itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Sagu sejurus selesai proses bedah siasat.
Dalam nahas terbabit, ketiga-tiga anak pasangan suami isteri terbabit mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tengki Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd zahari Awan Busu ketika dihubungi berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jaan (APJ) 1988. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: