KUALA LUMPUR – Ramai yang sudah menjangka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan sembarangan.
Cabarannya cukup menggentarkan semua parti yang bertanding malah para pemerhati dan penganalisis sudah menjangkakan ‘hung Parliament’ atau Parlimen tergantung kerana tiada parti mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.
Namun tiada siapa yang menduga tsunami PRU15 mampu membadai nama-nama besar dalam politik tanah air antaranya Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Azmin Ali, Khairy Jamaluddin dan Tengku Adnan.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR tewas di tangan calon Perikatan Nasional Fawwaz Md Jan dengan perbezaan 5,000 undi (angka tidak rasmi).
Khairy pula kalah kepada calon Pakatan Harapan, R. Ramanan di Sungai Buloh, Azmin kalah kepada bekas rakan satu partinya, Datuk Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.
Tengku Adnan yang menyandang kerusi Parlimen Putrajaya sejak 2004 iaitu setahun selepas Parlimen itu diwujudkan.
Apa yang lebih mengejutkan apabila gergasi politik tanah air seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir turut dimalukan pada PRU15 apabila hilang deposit di Parlimen Langkawi.
Selain Dr. Mahathir, anaknya Datuk Seri Muhriz Mahathir turut kalah di kerusi Jerlun.
Dalam pada itu, kubu Barisan Nasional di Gua Musang turut dirobohkan Pas sekali gus menyaksikan penyandangnya, Tengku Razaleigh Hamzah kalah dengan majoriti tipis dengan perbezaan 163 undi kepada Mohd. Azizi Abu Naim.
Berikut adalah senarai “gergasi yang tumbang pada PRU15”:
- Mahdzir Khalid (BN- Padang Terap)
- Tengku Zafrul Aziz (BN -Tanjong Karang
- Khalid Samad (PH- Titiwangsa)
- Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang)
- Saifuddin Nasution (PH- Kulim Bandar Baharu)
- Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam)
- Zuraida Kamaruddin (PBM-Ampang
- Reezal Meerican Naina Merican (BN-Kepala Batas)
- Faizal Azumu (PN-Tambun)
- Asraf Wajdi Dusuki (BN-Gerik)
- Mujahid Yusof Rawa (PH-Parlimen Parit Buntar)
- Rina Harun (PN-Sepang)
- Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) -MalaysiaGazette