Harris.

BALIK PULAU – Bekas calon Perikatan Nasional (PN) Balik Pulau, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid menyifatkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu semalam bukan satu kemenangan selesa.

Ia susulan penyandang kerusi itu, Datuk Bakhtiar Wan Chik hanya memperoleh majoriti sebanyak 1,582 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kata Harris, meskipun tewas namun dia tetap berpuas hati susulan berjaya meraih 22,982 undi sekali gus membuktikan pengundi Balik Pulau mahukan perubahan di sini.

“Majoriti PH jika dibandingkan dengan 2018 turun mendadak, jadi hari ini mungkin PH masih menjuarai tapi masa depan milik kita.

“Terima kasih kepada mereka yang menyokong khususnya anak muda. Saya boleh katakan mereka (anak muda) banyak bantu di mana semua undi muda serta orang Melayu milik PN semalam.

“Bagaimanapun, saya juga mengakui kita perlu memperbaiki prestasi di kawasan majoriti bukan Melayu serta saluran senior,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut Harris menegaskan dia akan terus berkhidmat di Balik Pulau meskipun gagal mendapat mandat.

“Saya memang terhutang budi dengan penduduk di sini dan saya tak akan tinggalkan kawasan ini.

“Saya akan terus berkhidmat jadi suara rakyat termasuk memperjuangkan isu-isu kebajikan mereka.

“Selain itu, saya aka bertindak atas kapasiti aktivis untuk membantah kerajaan PH melaksanakan projek tambakan laut selatan (PSR) serta pembinaan asrama warga asing di sini,” jelasnya.

Keputusan PRU15 semalam menyaksikan persaingan sengit bagi Parlimen Balik Pulau antara penyandang kerusi Bakhtiar dengan Perikatan Nasional.

Parlimen Balik Pulau juga antara kerusi tumpuan Pulau Pinang susulan menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan PH, PN, BN, Pejuang serta dua calon bebas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast