Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak dianggap melanggar Akta Anti Lompat Parti sekiranya mereka memberi sokongan secara Akujanji Bersumpah (SD) kepada pemimpin parti lain dalam membolehkan membentuk sebuah kerajaan.

Pengerusi Sekretariat Peguam Muda, Pemuda UMNO Malaysia, Lt. Kol. Bersekutuan (PA), Nik Saiful Adli Burhan berkata, walaupun Ahli Parlimen berkenaan sebelum ini telah menandatangani SD untuk akur dan patuh kepada Presiden parti, tetapi dalam keadaan sekarang, mereka boleh membuat SD baharu menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ada yang tanya, benarkah keanggotaan Ahli Parlimen BN tergugur apabila keahlian parti dipecat kerana ingkar arahan Presiden?

“Perlembagaan Persekutuan yang dipinda berkenaan Anti Lompat Parti mengecualikan Ahli-ahli Parlimen yang dipecat keahlian dan mereka tidak termasuk dalam golongan melompat parti.

“Apa yang berlaku ini, Ahli Parlimen berkenaan bukan lompat parti, mereka hanya memberi atau menyatakan sokongan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, makan-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen.

Perkara itu, katanya, selaras dengan undang-undangan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Nik Saiful yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia menjelaskan, secara asasnya, semua undang-undang, akta, enakmen yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal.

Apatah lagi, kata beliau, jika ia cuma perjanjian atau akujanji yang jauh lebih rendah kuasanya.

Oleh itu, katanya, kenyataan Ahmad Zahid itu bercanggah dengan peruntukan perlembagaan berkenaan perbezaan antara melepaskan keahlian parti dengan dipecat keahlian parti.

“Ianya sama seperti bezanya terkorban dan bunuh diri. Dalam konteks hari ini, ramai yang terkorban, tapi ramai juga yang bunuh diri,” katanya.

Beliau turut menyatakan Perkara 43(2)(a) menyebut undi Perdana Menteri adalah oleh Ahli Dewan Rakyat, bukan parti atau Presiden parti.

“Maka, Ahli Parlimen BN bebas memilih Perdana Menteri sebagaimana juga Ahli Parlimen parti lain. Cuma tertakluk kepada tindakan disiplin dalaman parti yang tidak menjejaskan kedudukan sebagai Ahli Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette