Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) bersama Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Howard Lee Chuan How (dua kiri) dan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari (kanan) berjalan bersama selepas selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika di Istana Kinta, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 21 NOVEMBER 2022.

IPOH – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan negeri Perak, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN, Datuk Saarani dilihat memasuki pintu utama Istana Kinta untuk mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Kehadiran Saarani di Istana Kinta dipercayai untuk mempersembahkan keadaan semasa politik Perak.

Selain Saarani, turut kelihatan ialah Bendahari DAP Perak, Howard Lee selain Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan  Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi.

Difahamkan Howard menjadi jurucakap memandangkan pemimpin utama PH negeri ini sedang menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur bagi membincangkan pembentukan kerajaan Persekutuan.

Selepas 10 minit, Howard keluar dari Istana Kinta dan memberitahu media bahawa beliau hanya hadir ‘di belakang tabir’ sahaja.

“Tidak ada apa-apa. Saya cuma kerja belakang tabir sahaja. Saya keluar untuk ambil dokumen sahaja. Tidak ada komen,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang berkata, PH akan membentuk kerajaan negeri Perak bersama BN dalam hantaran di Facebook beliau.

Sementara itu, dalam satunkenyataan DAP Perak mendakwa memiliki jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri di Perak yang mana ia melibatkan kerjasama antara PH dan BN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),  Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi DUN diikuti PH (24) dan BN (sembilan). -MalaysiaGazette