Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bercakap kepada media selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ketika Hotel Casuarina, Kuala Kangsar, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 21 NOVEMBER 2022.

KUALA KANGSAR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan dirinya semalam telah mendapat mandat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meneruskan cadangan penubuhan kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Perak hari ini.

Turut bersetuju dengan cadangan itu ialah Biro Politik UMNO.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, pihaknya mendapat restu semalam sebelum duduk semeja dan membawa cadangan menubuhkan kerajaan negeri ke Istana Kinta pagi ini.

“Semalam saya hadir mesyuarat di Kuala Lumpur, saya telah memberitahu kepada presiden (Ahmad Zahid) tentang cadangan dan tawaran PH kepada kita. Presiden dan biro politik telah memberikan persetujuan mereka untuk kami tubuhkan kerajaan negeri dengan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-15 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 5.40 petang tadi.

Pelantikannya menyusul selepas persetujuan BN dan PH untuk membentuk kerajaan Perak bersama.

Beliau juga menolak dakwaan dirinya membuat keputusan sendiri dengan bersetuju dengan kerajaan gabungan kerana telah ditawarkan kembali menjadi Menteri Besar.

Menurutnya, sebelum itu, pihaknya sudah bersedia untuk menjadi pembangkang kerana menyedari hanya memenangi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Itu tidak betul. Dari awal lagi kita sudah bersedia menjadi pembangkang tetapi untuk menjadi pembangkang kita juga perlu sebuah kerajaan yang memerintah negeri ini. Masalahnya di sini, PH mahu pun Perikatan Nasional (PN) tidak duduk semeja berbincang.

“Kedua-duanya tidak boleh membentuk kerajaan negeri. Bagaimana kita akan dapat mainkan peranan pembangkang jika begitu? Kerana itu juga saya mengambil peranan berbincang.

“PH telah datang jumpa saya dan berikan kami beberapa tawaran, antaranya jawatan MB, juga tiga jawatan Exco dan satu jawatan Speaker,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya ke-15, PN memenangi 26 kerusi DUN di Perak, diikuti PH (24) dan BN (9).

PN Perak sebelum ini telah memberi bayangan ia akan bekerjasama dengan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri dan gabungan politik pimpinan Muhyiddin Yassin itu menolak untuk bekerjasama dengan PH.

Untuk makluman Saarani, pertama kali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada Disember 2020 selepas BN menarik sokongan kepada menteri besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. -MalaysiaGazette