KUALA LUMPUR – Demi masa depan Islam dan ummahnya, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil sikap lunak dan damai untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, bersih dan makmur.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ambang pembentukan kerajaan Persekutuan ketika ini telah mewujudkan pelbagai situasi yang perlu ditangani dengan bijak oleh semua pihak agar kepentingan agama, bangsa dan negara tidak terjejas.
Beliau juga difahamkan bahawa rata-rata pimpinan UMNO dan ahlinya tidak dapat menerima Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
“Sehingga timbullah slogan No Anwar dan No DAP semasa Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari.
“Slogan itu secara tidak langsung sangat selari dengan sikap dan pendirian Pas juga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setakat hari ini, kerajaan baharu belum dapat dibentuk kerana tiada parti yang berjaya memperolehi majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Keputusan di 221 kerusi Parlimen menunjukkan PH beroleh 82 kerusi diikuti PN (73 kerusi), BN (30 kerusi) manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan tiga kerusi, calon Bebas dua kerusi serta Parti Kesejahteraan Demoratik Malaysia (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu kerusi.
Ketika ini, PH dan PN berusaha ‘memancing’ sokongan BN bagi membolehkan salah satu gabungan politik itu beroleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Walau bagaimanapun, Nasrudin terkejut apabila pucuk pimpinan UMNO secara tiba-tiba mengambil sikap berbeza dengan slogan yang dilaungkan selama ini apabila mereka mengatur pelan untuk bentuk kerajaan bersama PH yang tentunya dipimpin oleh Anwar dan didominasi oleh DAP.
Beliau memberitahu, antara naratif yang diviral merata adalah kerana mereka sangat terluka ekoran adegan serang menyerang semasa kempen PRU-15.
“Saya sangat memahami situasi yang berlaku. Hampir tiada siapa sebenarnya yang tidak terluka menyaksi ‘upacara’ serang menyerang, maki hamun dan kata nista politik antara pihak-pihak yang bertanding,” jelasnya.
Namun, Nasrudin menjangkakan para politikus selayaknya kental dan tabah meredah situasi tersebut.
Beliau berkata, sejurus tamat musim PRU-15, jalan damai untuk menamatkan pertelingkahan harus ditemui terutamanya menjelang pembentukan kerajaan setelah berlaku keadaan Parlimen tergantung.
“Kalaupun UMNO terluka dengan PN, maka apalah pula PH? Apa yang PH tidak kutuk UMNO dan BN?
“Bahkan bahasa mereka jauh lebih kesat dan kasar. Namun kenapa pimpinan UMNO masih boleh menerima PH ?” soalnya. – MalaysiaGazette