Teh Lai Heng.

GEORGE TOWN –  Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu meneruskan rundingan pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dengan Kerajaan Negeri Perak yang kini ditadbir secara bersama oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, ini merupakan peluang keemasan untuk menjayakan projek SPRWTS yang tertangguh sejak 11 tahun lalu.

“Projek SPRWTS amat penting sebagai sumber air mentah tambahan bagi menampung keperluan permintaan air di negeri ini pada masa akan datang.

“Hasil kajian Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut menunjukkan kapasiti air (mentah) Sungai Perak mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan air dari Utara Perak dan Pulau Pinang.

“Projek ini untuk kebaikan bersama dan dengan peralihan kuasa pada PRU15 yang mana Perak kini dibawah pentadbiran PH dan BN jadi ini adalah peluang keemasan untuk teruskan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Bajet 2022 di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semasa membentangkan Bajet 2023 Negeri Pulau Pinang turut menegaskan bahawa pentadbirannya akan meneruskan rundingan bersama dengan Kerajaan Negeri Perak.

Pada Mac lalu, Kerajaan Negeri Perak menegaskan tidak dapat membantu membekalkan air mentah ke Pulau Pinang kerana bekalan sedia ada perlu diutamakan kepada penduduk negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun sumber air mentah banyak di Perak tetapi penggunaan untuk rakyat negeri ini juga tidak mencukupi. – MalaysiaGazette