DOHA – Pemain-pemain bola sepak Iran enggan menyanyikan lagu kebangsaan negara mereka sebelum perlawanan Piala Dunia menentang England, sekali gus menunjukkan sokongan mereka terhadap protes anti-kerajaan yang sedang berlangsung.
Beberapa peminat menjerit dan mengejek semasa lagu kebangsaan itu dimainkan, dengan beberapa penonton memegang papan tanda bertulis “Wanita, Kehidupan, Kebebasan”.
TV negara Iran memotong liputan ketika lagu kebangsaannya dimainkan dan beralih kepada tayangan sekitar stadium.
Protes besar-besaran oleh rakyat Iran telah disambut dengan tindakan keras dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Tunjuk perasaan ini dicetuskan oleh kematian seorang gadis, Mahsa Amini ketika dalam tahanan pada September lalu.
Mangsa yang berusia 22 tahun ditahan polis kerana didakwa melanggar peraturan ketat penutup aurat.
Aktivis hak asasi manusia berkata, lebih 400 penunjuk perasaan telah terbunuh dan 16,800 yang lain ditangkap oleh pasukan keselamatan Iran.
Pemimpin Iran berkata, protes itu adalah “rusuhan” yang didalangi oleh musuh asing negara itu.
Peminat bola sepak Iran juga kedengaran melaungkan “Ali Karimi” pada separuh masa pertama merujuk kepada bekas pemain bola sepak itu yang merupakan antara pengkritik paling lantang Republik Islam dan salah seorang wajah paling popular dalam gerakan protes itu.
Laungan “Be-Sharaf”, yang bermaksud tidak dihormati turut kedengaran. Perkataan itu digunakan penunjuk perasaan terhadap pasukan keselamatan di Iran.
Pengurus Carlos Queiroz berkata pemainnya “bebas untuk membantah” hak wanita di negara asal mereka selagi ia “mematuhi peraturan Piala Dunia dan mengikut semangat permainan”. – Agensi