Kerajaan Perak Perpaduan Saarani Mohamad
Saarani Mohamad

IPOH – Tuntutan mengenai hak milik tanah 999 tahun untuk kampung-kampung baru di Perak tidak berbangkit dalam syarat pembentukan kerajaan perpaduan di negeri itu, menurut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Tiada. Tidak pernah ada apa-apa tuntutan itu berlaku,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau mengulas maklumat WhatsApp yang tular kononnya Pakatan Harapan (PH) bersetuju menerima syarat Barisan Nasional (BN) untuk diberikan jawatan Menteri Besar, Speaker dan tiga ahli majlis mesyuarat negeri jika PH menggugurkan tuntutan hak milik tanah itu.

Saarani berkata, kerajaan negeri berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Kanun Tanah Negara 1965 dalam perkara berkenaan.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PH Perak Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa wujud perjanjian antara BN dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri, Saarani berkata ia berkaitan agihan peranan.

PH dan BN bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi.

Sementara itu, Saarani berkata kesepakatan antara BN dengan PH memudahkan pembentukan kerajaan negeri Perak berbanding di peringkat kerajaan Persekutuan.

“Apabila sudah dimuktamadkan, kita  fokus untuk bangunkan negeri dan tidak boleh ditangguhkan. Kita terus dengan mesyuarat Exco pertama. Kita kena jalan terus.

“Berbeza di pusat, ada beberapa parti lain seperti Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi di Perak kita ada BN, PH dan PN. Jadi dengan mudah kita boleh buat keputusan,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast