KUALA LUMPUR – Kesemua pemimpin parti gabungan Sarawak telahpun beredar dari Istana Negara pukul 11.57 pagi melalui Pintu 2, sebentar tadi.
Kenderaan yang membawa mereka bergerak pantas selepas melepasi kumpulan pengamal media yang ditempatkan di satu rungan khas di dalam garisan kuning di luar pintu masuk istana berkenaan.
Pemimpin Sarawak itu adalah Datuk Seri Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Aaron Ago Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali merupakan individu pertama yang yang meninggalkan Istana Negara selepas mengadap Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Ia disusuli dengan pergerakan keluar Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Setiausaha Agung komponen parti itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pintu 2 Istana Negara menjadi tumpuan media hari ini susulan sesi mengadap secara individu ahli Parlimen dengan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dijadualkan berlangsung pukul 10.30 pagi tadi. – MalaysiaGazette