Hew Kuan Yew

KUANTAN – Seorang bekas ahli DAP ditahan polis hari ini ekoran penularan video ceramah politiknya di sekitar Raub Perdana yang didakwa mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, lelaki terbabit dikenali sebagai Hew Kuan Yaw, 52, ditahan di Puchong Jaya dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hari ini.

Jelas Ramli, Kuan Yaw yang lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ dikatakan telah menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Kantonis pada 17 November lalu dan mendapat reaksi negatif di media massa dan media sosial.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” kata Ramli dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan fidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.

“Selain itu juga, penama turut disiasat di bawah Seksyen yang sama bagi ucapannya di dalam satu program ceramah politik di Taman Pandan Mawar, Melaka pada 18 November yang lalu,” tambahnya.

Ramli berkata, Kuan Yau akan ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi untuk mendapatkan keterangan lanjut dan permohonan remannya akan dipohon mengikut Seksyen 117 KPJ.- MalaysiaGazette