PETALING JAYA – Suasana gembira dan sorakan kedengan di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Gasing, di sini, selepas Istana Negara mengumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Beberapa pimpinan PKR yang berada di pejabat itu sejak beberapa jam lalu dilihat berpelukan.
Malah kesemua mereka bersorak gembira meraikan berita berkenaan dengan melaungkan ‘Reformasi, Reformasi’.
Antara pemimpin parti yang kelihatan berada dii sini adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli; Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari dan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memberi perkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri yang baharu selepas selesai Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Presiden PKR itu dijadualkan mengangkat jawatan serta sumpah simpan rahsia sebagai Perdana Menteri pada jam 5 petang di Istana Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, pihaknya akan memaklumkan pergerakan Anwar dari semasa ke semasa kepada media.
Difahamkan Anwar kini berada di kediamannya di Kajang. – MalaysiaGazette