Wakil jurucakap Gabungan Kedaulatan Negara, Azlan Awang (tengah) menunjukkan memorandum memohon kerajaan menangguhkan penyertaan ratifikasi Comprehensive and Progressive Trans Pacific Partnership (CPTPP) yang diumumkan oleh Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini di pekarangan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Gabungan Kedaulatan Negara menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik balik ratifikasi persetujuan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan dikuatkuasakan pada 29 November ini.

Jurucakapnya yang juga Felo Kanan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Azlan Awang berkata, pihaknya amat kecewa dengan keputusan itu kerana meratifikasi suatu perjanjian yang berimplikasi besar terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat yang dibuat tanpa libat-urus ekstensif melibatkan orang awam dan masyarakat.

Malah jelas beliau, Kajian Kos dan Manfaat mengenai perjanjian itu tidak dibahaskan di Parlimen.

“Kami juga berpendapat bahawa Kajian Kos dan Manfaat yang disediakan adalah terlalu sempit dan bias terhadap pencapaian dari segi eksport dan pelaburan yang hakikatnya tidaklah begitu besar dan signifikan.

“Ia juga  terlalu fokus kepada manfaat tanpa mengkaji secara mendalam kos dan risiko. Persetujuan CPTPP seharusnya dikaji dengan lebih terperinci sebelum kita meratifikasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media sebelum menghantar satu memorandum di Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Memorandum itu melibatkan 24 pakar ekonomi, 57 badan bukan kerajaan (NGO), 10 kesatuan sekerja dan lebih 50 individu selepas mendapati perjanjian ratifikasi itu bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Wakil jurucakap Gabungan Kedaulatan Negara, Azlan Awang bercakap kepada media mengenai memorandum memohon kerajaan menangguhkan penyertaan ratifikasi Comprehensive and Progressive Trans Pacific Partnership (CPTPP) yang diumumkan oleh Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini di pekarangan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2022.

Pada 6 Oktober lalu, bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan CPTPP bagi Malaysia akan mula berkuatkuasa pada 29 November ini.

Kata beliau, Malaysia telah meratifikasi CPTPP berikutan penyerahan surat cara ratifikasi oleh kerajaan untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP, pada 30 September 2022.

Azlan menambah, pihaknya mendapati kandungan perjanjian ratifikasi CPTPP itu lebih kompleks dan umpama ‘jerangkap’ kepada ekonomi negara.

“FTA sedia ada juga sudah dapat membantu negara mencapai prestasi eksport lebih baik biarpun tanpa CPTPP,” katanya.

Azlan juga merayu kepada kerajaan baharu untuk menangguhkan penyertaan CPTPP buat masa ini dengan menarik balik notis meratifikasi perjanjian itu.
Beliau berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai oleh ahli akademik dan pakar ekonomi tempatan untuk mengkaji semula cost-benefit penyertaan dalam CPTPP.
“Kami boleh mengesyorkan beberapa ahli akademik yang boleh dijemput menganggotai jawatankuasa ini dan membentangkan penemuan jawatankuasa itu di Dewan Rakyat.
“Ia agar ianya dapat dibahas secara mendalam sebelum keputusan diambil dan kami berharap Perdana Menteri akan mengambil berat terhadap isu ini dan memastikan perkara ini dikaji secara mendalam sebelum keputusan muktamad diambil.
“Kami turut minta peluang untuk bertemu dengan Anwar untuk perbincangan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast