Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Perdana Putra untuk memulakan tugas sebagai Perdana Menteri pada hari pertama di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2022.

 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Anwar, 75, yang memakai baju Melayu merah jambu tiba tiba dengan kenderaannya di pekarangan bangunan Perdana Putra pukul 9.52 pagi.

Sebaik sahaja tiba di pintu protokol, Perdana Menteri sempat melambaikan tangannya ke arah pengamal media yang berada di situ.

Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-10 di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar Ibrahim keluar dari kediamanya sebelum bergerak ke Pejabat Perdana Menteri dari kediamannya di Bandar Sg. Long, Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 NOVEMBER 2022.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara semalam bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya umum berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

PRU15 pada 19 Nov menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-PRU15. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here