Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2021 adalah 214,943, meningkat 15.4 peratus daripada 186,297 tahun sebelumnyadisumbangkan oleh peningkatan 21.0 peratus bilangan perkahwinan orang Islam pada 2021 (176,002) berbanding 2020 (145,443), kata Jabatan Perangkaan.

Tiga negeri yang menunjukkan peningkatan tertinggi perkahwinan orang Islam iaitu Kelantan (61.3%) diikuti Labuan (56.0%) dan Putrajaya (37.3%).

Sebaliknya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam pula merekodkan penurunan iaitu 4.7 peratus daripada 40,854 (2020) kepada 38,941 (2021).

Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang bukan Islam iaitu Terengganu (-20.7%), Perlis (-20.5%) dan Johor (-14.6%).

Ketuanya, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki meningkat daripada 42.8 kepada 45.8 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Trend yang sama juga bagi pengantin perempuan yang merekodkan peningkatan daripada 44.6 kepada 47.4 bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Selari dengan peningkatan keseluruhan bilangan perkahwinan, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki Islam juga meningkat daripada 54.0 kepada
60.4 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki Islam berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Kadar perkahwinan bagi pengantin perempuan Islam turut mencatatkan peningkatan daripada 55.4 kepada 62.0 bagi setiap 1,000 penduduk perempuan
Islam berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Manakala, kadar perkahwinan orang bukan Islam, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki bukan Islam menurun daripada 24.6 kepada 21.9 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki bukan Islam berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Trend yang sama juga berlaku kepada pengantin perempuan bukan Islam, menurun daripada 26.3 kepada 23.0 bagi setiap seribu penduduk perempuan bukan Islam berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Menurut beliau, trend peningkatan kadar perkahwinan di Malaysia ini adalah selari dengan negara lain seperti Australia (3.5), Singapore (6.5), Kuwait (6.5), Palestine (8.6) dan Turkiye (6.7).

Beliau menambah, perkahwinan tertinggi adalah pada kumpulan umur 25-29 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

Statistik juga menunjukkan umur pengantin lelaki dan pengantin perempuan paling tua direkodkan pada tahun 2021 adalah berumur 92 dan 84 tahun.

Sementara itu, 6.2 peratus pengantin lelaki berumur 65 tahun dan ke atas telah mengahwini pengantin perempuan yang lebih muda dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah manakala, 3.6 peratus pengantin perempuan berumur 65 tahun dan ke atas telah berkahwin dengan pengantin lelaki dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah.

Daerah Petaling mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi bagi orang Islam dan orang bukan Islam pada 2021.

Bilangan perkahwinan orang Islam di Petaling adalah 8,531 diikuti Johor Bahru, Johor (6,969) dan Kota Bharu, Kelantan (6,734) manakala bagi orang bukan Islam, daerah Petaling mencatatkan bilangan perkahwinan iaitu 2,823 diikuti Klang, Selangor (2,066) dan Johor Bahru, Johor (1,851).

Mohd Uzir berkata, bilangan perceraian menurun7.1 peratus daripada 47,272 (2020) kepada 43,934 (2021) disebabkan oleh penutupan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan serta bilangan kes yang terhad mengikut prosedur operasi standard semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Bilangan perceraian orang Islam mencatatkan penurunan 16.4 peratus pada 2021 (31,650) berbanding 2020 (37,853).

Perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 30-34 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast