Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan hari ini merupakan hasrat Yang di-Pertuan Agong dan perlu dihormati tanpa harus ditolak dengan hanya isu bilangan akuan bersumpah (SD).

Pengerusi Jaringan Bertindak NGO Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah pasti telah meneliti semua fakta dan mendengar pandangan Raja-Raja Melayu sebelum membuat keputusan berkenaan.

Lantaran itu, mana-mana pihak yang mempertikai keputusan Agong itu boleh dianggap derhaka.

“Kami kesal bila ada pemimpin politik yang tidak mengawal pengikut dari mengguna media sosial untuk mencetuskan kebencian dan menyerang lawan politik. Menularkan kebencian dengan menyebar fitnah dan maklumat palsu bertentangan dengan syariah Islam yang sering dilaungkan.

“Kami menggesa agar atas semangat mengangkat maruah dan memelihara kedaulatan Malaysia, kerajaan perpaduan yang kini sudah mulai terbentuk hendaklah dijayakan. Usaha meluruskan kembali tatakelola kerajaan hendaklah diperkasakan. Menyantuni nasib rakyat marhein berdepan kos sara hidup yang tinggi hendaklah diutamakan. Pertumbuhan ekonomi dan mengatasi jurang kaya miskin antara rakyat perlu ditangani.

“Kami juga menggesa hentikan sengkata politik. Pemimpin politik perlu menasihat pengikut masing-masing yang cenderung untuk menyebarkan kebencian dan kenistaan agar dihentikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seharusnya diterima dan dihormati sebagai mandat rakyat.

Katanya, pihak yang didapati melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh kempen sewajarnya dikenakan hukuman semada kesalahan kecil mahupun besar.

Amalan merasuah pengundi dengan wang dan ugutan harus didakwa kerana hanya dengan itu mandat rakyat tidak dicemari oleh amalan jijik suapan wang untuk mendapat kuasa.

“Kini, setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri untuk memimpin kerajaan perpaduan semua pihak seharusnya bekerjasama menjayakan hasrat mewujudkan kestabilan politik dan meneruskan pembangunan negara.

“Kami berharap Anwar meneruskan agenda kerajaan perpaduan dalam administrasi beliau, memperbetulkan tatakelola negara, mengangkat prestasi ekonomi, membela yang terpinggir dan mengangkat semula imej negara dimata dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast