Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bukan perkara luar biasa untuk seorang Perdana Menteri seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menolak menggunakan kenderaan rasmi yang diimport.

Pengarah Media dan Strategik Komunikasi kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bekas Perdana Menteri itu pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan.

Datuk Ruhaidini Abd Kadir dalam tulisan di media sosial berkata, Ismail Sabri sepanjang bergelar Perdana Menteri juga lebih selesa menaiki kenderaan jenis kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Di sebalik nama Ismail Sabri. Keputusan YAB Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi (import) yang baharu bukan perkara luar biasa.

“Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau.

“Sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu,” kata Ruhaidini.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Bera itu juga turut menolak cadangan melibatkan pengubahsuaian pesawat khas.

Ismail Sabri juga dikatakan tidak tinggal di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana sepanjang menjawat jawatan tersebut.

“Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubahsuai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi Perdana Menteri.

“Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri telah indah diubahsuai,” kata Ruhaidini.

Media sebelum ini memetik hantaran Anwar di Facebook yang mahu menggunakan kenderaan sedia ada bagi urusan harian.

Presiden PKR yang dilantik sebagai Perdana Menteri sejak Sabtu lalu turut menolak daripada menggunakan kenderaan jenis Mercedes Benz S600 yang dibeli Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum dia memasuki pejabat.

Anwar berkata keputusan tersebut diambil kerana tidak mahu sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atasnya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.

“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Perdana Menteri ke-10 itu sebelum ini dilaporkan tidak akan membeli kereta rasmi baru untuk kegunaannya atau melakukan sebarang pengubahsuaian di pejabatnya.

Jelas Anwar, dia ingin mewujudkan budaya tidak membazirkan dana kerajaan sebagaimana amalan pentadbiran terdahulu.-MalaysiaGazette