Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Susulan pembentukan kerajaan negeriĀ  baharu, Perikatan Nasional (PN) Pahang mahu menjadi pembangkang yang konstruktif, profesional dan progresif.

Menurut Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah gabungan itu juga akan melihat untuk memperbaiki semula parti-parti di dalamnya.

“Kedua-dua ini resepi untuk membangun demokrasi Malaysia yang matang, moderat dan pelbagai kaum yang berasaskan nilai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, bagi peranan pembangkang yang konstrukrif, harus diwujudkan Perjanjian Kepercayaan & Perbekalan (CSA) yang melibatkan Kabinet atau Exco Bayangan yang diiktiraf.

“Selain itu termasuk juga Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas mengikut kluster Kabinet atau Exco dan Akta atau Enakmen Peruntukan Kawasan yang saksama bagi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

Bagi membaiki parti pula, Saifuddin berkata, PN harus mengolah semula idealisme perjuangan yang mengamalkan kesederhanaan.

Manakala Bersatu sebagai salah satu parti komponen dalam PN perlu memperkasa sayap bersekutunya bagi memastikan penglibatan lebih bermakna ahli-ahli bukan Melayu dan bumiputera serta menjalankan program pendidikan dan latihan yang sistematik.

Semalam, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah telah memperkenan pembentukan kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan buat pertama kali dalam sejarah di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang yang ke-15 di Istana Sultan Abu Bakar di Pekan hari ini.- MalaysiaGazette