GTA kalah di semua 121 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 termasuk Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Bekas calon Parti Pejuang, Mahdzir Ibrahim menolak dakwaan penganalisis bahawa Gerakan Tanah Air (GTA) tidak diterima oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu kerana membawa naratif pro-Melayu atau mesej perkauman.

Beliau berkata, naratif perkauman yang digambarkan oleh penganalisis itu hanya bersandarkan kepada persepsi di kalangan kumpulan Melayu liberal.

“Dari laporan media, beberapa penganalisis berkata GTA harus dibubarkan selepas penampilan buruknya pada PRU15.

“Mereka mendakwa mesej pro-Melayu semasa berkempen gagal bergema dalam kalangan kumpulan sasarannya iaitu pengundi Melayu.

“Bagi saya dakwaan itu tidak benar, malah silap dan persepsi yang dicipta oleh kumpulan Melayu liberal ini adalah simplistik, bukan ilmiah,” katanya hari ini.

Mahdzir yang tewas dalam PRN Johor Mac lalu bagi kerusi DUN Semerah berkata, bagi kumpulan Melayu liberal itu akan mudah melabelkan apa sahaja istilah berkaitan ‘Melayu’ yang dibawa oleh GTA sebagai perkauman.

Sedangkan, tegas beliau, prinsip asas yang diperjuangkan oleh GTA ialah persoalan integriti iaitu Melayu berwibawa (bersih) melawan Melayu korup.

Katanya, intipati naratif itu adalah mengenai perlawanan antara memilih pemimpin Melayu yang berintegriti dan berwibawa dengan pemimpin Melayu yang rasuah dan pecah amanah.

“Inilah mesej sebenar yang gagal dibaca atau sengaja diabaikan oleh penganalisis tersebut.

“Kumpulan penganalisis ini juga gagal membaca dengan teliti kekalahan GTA ini berkait langsung dengan budaya kempen politik wang.

“Bantuan rakyat yang dikeluarkan oleh blok politik kepada pengundi dan jentera dengan pembelian papan iklan, media sosial yang begitu besar semasa berkempen ini telah mendominasi persepsi rakyat,” katanya.

Beliau berkata, dengan kekuatan kewangan untuk jentera dan pengundi oleh tiga blok politik itu, calon GTA yang dibantu sebanyak RM15,000 bagi setiap calon sememangnya tenggelam dalam persaingan kempen sebesar itu.

Katanya lagi, jika penganalisis itu membuat kajian yang mendalam lagi, mereka akan mengetahui sebab sebenar kekalahan teruk GTA adalah berpunca daripada kelemahan kepimpinan politik itu sendiri.

“Kelemahan kepimpinan politik di peringkat parti dalam GTA kerana gagal mengambil iktibar dari kekalahan Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.

“Dari Mac hingga tertubuhnya GTA pada Ogos tahun ini, ia tidak digerakkan dengan membina kekuatan organisasi, jentera dan penerangan yang jitu. Kerana itu kita mendengar ramai calon GTA tidak bersedia memasuki PRU15 ini.

“Saya mengambil kesempatan ini bukan sahaja untuk memperbetulkan hujah dan tanggapan penganalisis bahawa GTA membawa naratif perkauman, tetapi saya ingin menjelaskan sebab utama kekalahannya,” kata beliau.

Menurut Mahdzir, sama ada GTA akan tenggelam selepas ini atau mahu terus releven, bergantung kepada sejauh mana kepimpinan politik dapat berubah serta bertindak.

“Segalanya terletak kepada ahli dan kepimpinan. Rakyat tidak akan dapat menyelamatkan GTA sekiranya kepimpinan tidak mahu belajar dari kesilapan,” katanya. – MalaysiaGazette