Perang bendera antara parti yang bertanding kian hangat apabila kibarannya mula menghiasi di sekitar jalan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Gugusan Manjoi, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Masyarakat sivil terutama aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini bakal berhadapan dengan cabaran berikutan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Kua Kia Soong berkata, ketika ini terdapat suara yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak melantik ahli-ahli politik yang menghadapi tuduhan rasuah menjadi anggota Kabinet

Kia Soong mempersoalkan suara tersebut yang membisu apabila PH yang menjadi kerajaan pada 2018 telah melantik pemimpin DAP Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan walaupun beliau berhadapan dengan kes rasuah.

“Jelas suara-suara suci ini bimbang Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, yang baru sahaja menjadi perantara Anwar Ibrahim ke dalam gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional, boleh menjadi menteri dalam kerajaan perpaduan.

“Sekali lagi, adakah anda mendengar suara-suara suci yang sama menyeru Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad selepas PRU14 untuk melakukan perkara yang sama, iaitu untuk tidak melantik ahli politik yang menghadapi tuduhan rasuah ke dalam Kabinet?

“Dan apabila Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan, adakah sesiapa dalam PH atau dalam masyarakat sivil membuat sebarang bantahan? Saya tidak mendengar apa-apa,” katanya.

Dalam tulisan yang disiarkan dalam sebuah portal, Kia Soong berkata, hanya selepas Kerajaan PH jatuh pada tahun 2020 masyarakat mula melihat kes-kes rasuah yang membabitkan pemimpin parti itu dibuka semula.

Kia Soong turut mempersoalkan sama ada bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang menggugurkan kes Guan Eng boleh mempertahankan bekas Menteri Kewangan tersebut.

“Kerajaan PH jatuh pada 2020 hanya kerana Mahathir kehilangan plot, dan kita mula melihat pembukaan semula kes rasuah yang melibatkan ahli politik PH dan yang agak bodoh digugurkan oleh kerajaan PH dan Peguam Negaranya selepas PRU14.

“Bolehkah Thomas mempertahankan integriti awam dalam kes rasuah Lim sebelum ini? Jika dia menjadi hakim dalam kes ini, dia pasti akan menarik diri.

“Ini kerana sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara, Thomas adalah peguam Lim dalam kes rasuah terhadapnya dan penyokong lantang gabungan PH,” katanya.

Kia Soong menegaskan kerajaan reformis PN perlu dilihat lebih berprinsip berbanding Kerajaan BN dalam kes pemimpin yang terlibat dalam rasuah.

Beliau berkata, di bawah kerajaan BN sekurang-kurangnya tiga pemimpinnya iaitu Datuk Seri Harun Idris, Tun Abdul Taib Mahmud Taib Mahmud dan Datuk Seri Khir Toyo dihadapkan ke mahkamah.

Kes ketiga-tiga mereka tidak ada bezanya dengan kes banglo yang dihadapi oleh Lim Guan Eng tetapi telah digugurkan ketika PH menjadi kerajaan pada 2018.

Serentak itu Kia Soong menggesa agar aktivis dan NGO supaya konsisten secara neutral dalam menegakkan prinsip tadbir urus yang baik.

Katanya, tidak ada ruang untuk oportunisme dalam kalangan aktivis NGO jika mereka serius untuk membawa negara yang berprinsip ke peringkat lebih tinggi.- MalaysiaGazette