KUALA LUMPUR – Kes terkumpul demam denggi sehingga 5 November 2022 adalah sebanyak 51,262 kes berbanding 22,101 kes bagi tempoh sama tahun
2021 pertambahan sebanyak 29,161 kes (131.9%).
Manakala sebanyak 35 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 17 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021, peningkatan sebanyak 18 kematian (105.9%).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 50 lokaliti hotspot pada 30 Oktober 2022 hingga 5 November 2022 berbanding 56 lokaliti hotspot pada 23 Oktober 2022 hingga 29 Oktober 2022 dengan 31 lokaliti hotspot berada di Negeri Selangor, 14 (Sabah), 4 (Kuala Lumpur & Putrajaya) dan 1 (Melaka).
Sementara itu, beliau berkata, chikungunya pula merekodkan sebanyak 12 kes pada 30 Oktober 2022 hingga 5 November 2022 dengan 6 kes dari Pulau Pinang, 5 kes dari Selangor dan 1 kes dari Negeri Sembilan.
“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga 5 November 2022 adalah sebanyak 682 kes manakala bagi zika, sebanyak 1,739 sampel darah dan 16 sampel urin sudah melalui saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, banjir kilat yang melanda beberapa buah negeri termasuk di Lembah Klang baru baru ini ialah salah satu sebab bagi banyak sampah sarap serta bekas-bekas hanyut dan terdampar di persekitaran.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk Malaysia memeriksa dan memusnahkan tempat sangat berpotensi berlaku pembiakan nyamuk Aedes dan menyebabkan wabak denggi.
Oleh itu, pendudukdi kawasan kejiranan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) harus segera melupuskan bekas-bekas yang menakung air dan bubuh bahan pembunuh jentik-jentik untuk membunuh jentik-jentik yang berada di dalam lopak air atau takungan tersebut bagi kawasan
lopak air atau bekas takungan air yang sukar dilupuskan. – MalaysiaGazette