KAJANG — Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh anak perempuan tirinya minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, C. Stephen Raj, 43, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang seorang penganggur itu didakwa melakukan perbuatan dengan niat hendak menyebabkan kematian ke atas anak tirinya yang berusia 11 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Melur 5, Taman Sri Ramal Kajang lebih kurang 11.33 malam pada 21 November lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah pada jam 9.50 pagi memakai baju t-shirt berwarna biru menaiki lori Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Sepanjang perjalanan ke kamar mahkamah, tertuduh sentiasa tunduk dan menutup wajahnya dengan baju.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam M. Manoharan.
Tiada ikat jamin dibenarkan ke atas tertuduh dan mahkamah menetapkan 10 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes.
Selasa lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan maut akibat didera bapa tirinya di rumah di Taman Sri Ramal.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, suspek yang berusia 43 tahun itu direman pada 24 November hingga Isnin lalu.
Kanak-kanak 11 tahun itu dikejarkan ke Hospital Serdang selepas tidak sedarkan diri pada jam 11.33 malam Selasa lalu sebelum disahkan meninggal dunia ketika menaiki ambulans dalam perjalanan ke hospital.
Bedah siasat mendapati punca kematian mangsa dipercayai akibat kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan usus pecah.
Selain itu, terdapat juga kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan mangsa.
Mohd Zaid berkata, berdasarkan siasatan lanjut yang dibuat, suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini termasuk menggunakan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah ketika ketiadaan isterinya di rumah. – MalaysiaGazette