Subbarow menunjukkan beg berisi pasir yang dibina konon sebagai penyelesaian isu hakisan pantai di Batu Feringghi, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menempatkan puluhan beg pasir sebagai benteng menghalang hakisan pesisir Pantai Batu Feringghi di sini adalah tindakan sia-sia.

Ia susulan sebahagian beg pasir yang ditempatkan sejak beberapa minggu lalu runtuh akibat dipukul ombak selain berisiko kepada pengunjung khususnya kanak-kanak.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, masalah hakisan pantai itu telah lama berlaku dan tindakan yang diambil dilihat lebih memburukkan lagi keadaan.

Subbarow.

“Ini bukan cara yang baik bagi menghalang hakisan kerana apabila pasir dikorek, ia akan lebih cepat diresapi air seterusnya tebing yang dibina akan runtuh.

“Sudahlah hakisan disebabkan perubahan iklim dan cuaca ditambah pula dengan kerja seperti ini secara langsung merosakkan lagi persekitaran.

Beberapa benteng yang dibina runtuh dipercayai dipukul ombak di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

“Kita harap pihak yang berkaitan dapat menyelesaikan segera masalah ini misalnya menanam pokok bakau di kawasan berhampiran bagi mengelak hakisan,” katanya hari ini.

Sementara itu, operator aktiviti sukan air, Anuar Abdul Aziz, 53, berkata, kerja mengorek pasir bagi membina benteng penahan tebing itu sudah dilakukan sejak sebulan lalu.

Anuar.

Katanya, kerja berkenaan menyebabkan pengunjung berkurangan sehingga 50 peratus selain memberi kesan terhadap perniagaan sukan air yang menjadi tarikan di kawasan itu.

“Kawasan ini terkenal dengan keindahan pantainya dan jika ia berterusan, kita bimbang pengunjung sudah enggan ke sini lagi.

“Saya tidak pasti tujuan kerja itu dijalankan dan sepatutnya ia tidak perlu kerana keadaan bertambah buruk apabila air pasang,” katanya lagi.

Pantai Batu Feringghi kini semakin lengang tanpa pengunjung.

Anuar berharap pihak terbabit melakukan sesuatu bagi mengatasi isu itu bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.- MalaysiaGazette